Bahana ingin mencuba, remaja 16 tahun tak mampu lawan ketagih syabu

Individu berumur 16 tahun ini antara ditahan menerusi operasi yang dijalankan di Flat Sri Perantau pada Rabu.
Individu berumur 16 tahun ini antara ditahan menerusi operasi yang dijalankan di Flat Sri Perantau pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Seorang remaja yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Flat Sri Perantau pada Rabu mendakwa, terpaksa mungkir janji kepada ayahnya untuk meninggalkan dadah kerana tidak mampu mengatasi ketagihan.

Remaja berusia 16 tahun dikenali sebagai Zul itu memberitahu, dia mula menagih dadah jenis syabu sejak hampir setahun lalu gara-gara ingin mencuba bahan terlarang itu.

"Saya sekadar hendak mencuba ambil dadah tetapi tak sangka akhirnya terjebak dalam penagihan. Apabila ayah tahu saya ambil syabu, dia pernah pukul dan saya berjanji kepada dia untuk berhenti menagih dadah. Malangnya, saya tidak boleh lawan ketagihan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Remaja yang tidak lagi bersekolah itu antara 27 individu diberkas dalam Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Flat Sri Perantau di sini pada Rabu.

Menurut remaja tersebut, sebelum itu gara-gara ingin mencuba rokok, dia terus terjebak menghisap rokok sejak berusia 14 tahun dan kemudian terlibat dalam penagihan dadah.

"Demi janji kepada ayah, saya cuba tak ambil syabu untuk sehari tetapi saya tidak boleh lawan ketagihan. Saya tidak dapat hendak buat kerja dan menjadi gelisah sepanjang hari," katanya.

Dalam pada itu, operasi sama turut memberkas seorang ibu tunggal yang sudah hampir 10 tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

Ibu tunggal ini antara ditahan menerusi operasi yang dijalankan.
Ibu tunggal ini antara ditahan menerusi operasi yang dijalankan.

Wanita berkenaan didapati merayau di sekitar kawasan Flat Sri Perantau dan menjadikan beberapa rumah kosong sebagai tempat untuk menghisap dadah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang Mohd Shahrizal Mohd Salleh berkata, SMARD merupakan inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial menggunakan peruntukan kerajaan negeri Selangor menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Selangor 2021.

"Pelaksanaan inisiatif ini adalah strategi lima tahun (2021-2025) melibatkan 13 kawasan berisiko tinggi di Selangor termasuk Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang.

"Objektif operasi adalah membanteras dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di samping membersihkan port yang menjadi sarang penagihan dadah," katanya.

Menurutnya, Flat Sri Perantau terdapat 12 blok bangunan dengan sebanyak 1,658 pintu rumah dan kapasiti keseluruhan adalah seramai 7,405 penduduk.

"Antara masalah dikesan adalah penagihan dan pengedaran dadah, transit tokan dadah, kecurian kenderaan, masalah pelajar keciciran dan ponteng sekolah serta keruntuhan institusi keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah AADK Negeri Selangor Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, sebanyak dua siri operasi SMARD dijalankan di kawasan tersebut.

"Sebanyak 10 operasi aduan telah dilaksanakan di kawasan ini oleh AADK sepanjang 2021. Setakat operasi yang diadakan hari ini, seramai 27 individu didapati positif dadah antaranya melibatkan methapatamine, opiat dan ganja," katanya.

Tambahnya, keseluruhan tangkapan bagi tahun 2021 setakat ini adalah seramai 87 individu berumur dari 16 hingga 50 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!