Mohamad Affendi anak harapan, bantu sara ibu bapa

Balu Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, Nurul Izati Shari, 31, (tengah) tiba bagi menuntut jenazah suaminya di unit Forensik Hospital Seberang Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
Balu Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, Nurul Izati Shari, 31, (tengah) tiba bagi menuntut jenazah suaminya di unit Forensik Hospital Seberang Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang malam Selasa, merupakan anak yang baik dan banyak membantu menyara kehidupan kedua orang tuanya.

Ibunya, Razilah Daud, 52, berkata, pada 2017 Allahyarham membeli sebuah rumah di Taman Redan Perdana di Muadzam Shah di sini disusuli dengan sebuah kereta pada tahun 2019 untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Razilah berkata, sebelum itu mereka sekeluarga menetap di Felda Keratong Lima, di sini dengan suaminya, Bustamy Tuakal, 70, bekerja sebagai buruh mengambil upah membuat rumah sekitar tanah rancangan itu manakala beliau tidak bekerja.

"Kami hanya menyewa di Felda Keratong. Lepas beli rumah dan kelengkapan di sini, dia minta kami duduk di sini... katanya, 'anggap macam emak dan abah sudah pencen', selain arwah memberi duit belanja bulanan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarga Allahyarham di sini pada Rabu.

Razilah berkata, pada pertemuan terakhir, Allahyarham memaklumkan bahawa dia akan menduduki peperiksaan paling susah sebelum tamat berkursus pada Isnin depan dan selepas itu menurutnya kehidupan mereka sekeluarga akan bertambah baik.

Mohamad Affendi, 31, meninggal dunia dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas pada 10.07 malam Selasa, semasa sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan udara itu.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Sementara itu seorang lagi anggota keluarga Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Tam, 36, berkata, beliau mengenali Mohamad Affendi semasa arwah berusia 18 tahun selepas berkahwin dengan sepupu arwah dan sejak itu beliau mengetahui minat mendalam arwah terhadap profesion tentera udara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya atas minat itu, Allahyarham belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memasuki Maktab Tentera Diraja sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

"Arwah pendiam orangnya dan kali terakhir kami bertemu ialah pada hujung bulan lepas kerana arwah pulang melawat orang tuanya... semasa itu arwah sedang berkursus di Negeri Sembilan dan dia mengambil cuti sehari," katanya.

Tam memberitahu jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Besar Muadzam Shah di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.

Sementara itu di KOTA BHARU, Kelantan, jiran kepada keluarga mentua Mohamad Affendi, Khadijah Awang, 55, berkata, arwah berperwatakan sangat baik dan peramah, walaupun mengakui beliau kurang mengenali arwah dengan lebih dekat.

Khadijah berkata, beliau masih mengingati keperibadian Allahyarham yang cukup mesra dengan masyarakat sekeliling kerana sempat bersua muka dan bertegur sapa sebelum berlakunya pandemik Covid-19 tahun lepas.

“Seingat saya sebelum Covid-19 tahun lepas, sempatlah juga berjumpa dengan arwah...ketika dia balik ke kampung isterinya, di sini.

"Memang arwah ini sangat peramah, sebab apabila saya ternampak arwah di rumah mentuanya dia mesti tegur, tanya kesihatan saya...sikapnya itu, kami jiran-jiran di sini tengok memang hormat pada orang tua,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Tambah Khadijah, pihak TUDM telah membawa isteri Mohamad Affendi, Nurul Izzati Shari; ibu dan bapa mentua serta adik ipar mangsa ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi Rabu sebelum berlepas ke rumah keluarga Allahyarham di Muadzam Shah, Kuantan, Pahang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!