Syamim mohon maaf, akui tidak sengaja kasari Amri

Syamim Yahya
Syamim Yahya
A
A
A

PEMAIN tengah Melaka United FC, Ahmad Syamim Yahya memohon maaf kepada penyerang Sabah FC, Amri Yahyah atas apa yang berlaku di Stadium Likas, Ahad lalu sambil menjelaskan insiden itu tidak disengajakan.

Dalam aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia, Syamim dikatakan telah sengaja memijak kaki Amri ketika pemain berusia 40 tahun itu sedang terbaring kesakitan pada minit-87 perlawanan sekali gus mengundang kemarahan penyokong tuan rumah.

Namun, dia menjelaskan situasi ketika itu agak kelam kabut dan langsung tidak berniat untuk memijak kaki Amri sebaliknya hanya ingin membantu selepas melihat keadaan penyerang itu yang dalam kesakitan.

“Masa itu keadaan agak kelam kabut, dan saya sebenarnya nak tarik Gomes (Giovane Gomes) dan saya letakkan kaki saya di tengah-tengah antara kaki dia.

“Saya tak nampak yang kaki Amri dekat situ, dan waktu itu saya ada tanya keadaan Amri, dia cakap tangan dia sakit jadi kalau betul saya memang nak sengaja pijak, mesti kaki dia akan sakit juga.

“Saya pun tak perasan yang saya ada pijak Amri dan lepas saya dapat video, baru saya nampak situasi sebenar, terus saya mesej Amri, dia pun cakap tiada apa-apa dan kami berdua baik-baik sahaja.

“Takkan la saya nak pijak dia dengan sengaja, dan saya pun sudah minta maaf dekat Amri atas apa yang berlaku sebab saya memang tidak sengaja”, jelasnya.

Syamim turut mengharapkan agar isu ini tidak lagi diperbesarkan sebaliknya ingin fokus kepada aksi suku akhir kedua yang akan berlangsung pada Khamis di Stadium Hang Jebat.

Artikel Berkaitan:

Meskipun kelebihan memihak kepada Melaka selepas menang 1-0 ke atas Sabah tempoh hari, bekas pemain Terengganu FC ini menganggap laluan untuk ke separuh akhir masih belum selamat selain menjangkakan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan tampil aksi berbeza kali ini.

“Belum selamat lagi sebab apa-apa boleh jadi sebab bagi saya, pasukan Sabah bagus sebenarnya dan mungkin masa itu taktikal mereka kurang menjadi dan kita pun sempat menjaringkan satu gol.

“Kalau tanya saya atau pemain-pemain Melaka lain, pemain Sabah yang boleh jadi ancaman adalah Amri sebab kalau dia dapat bola, kita tidak boleh nak baca apa yang dia fikir dan dia memang panjang akal.

“Bukan Amri sahaja, pemain seperti Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Alto Linus juga perlu diawasi, dan bagi saya, kita tidak boleh ambil mudah walaupun beraksi di laman sendiri”, tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!