Isu banjir agenda utama calon PH DUN Ayer Molek

Mohd Rafee Ibrahim
Mohd Rafee Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Isu banjir menjadi antara perkara yang akan diberi tumpuan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim jika diberi mandat oleh pengundi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Beliau berkata, banjir besar di DUN berkenaan telah berlaku dua kali pada tahun ini, tidak termasuk banjir kilat akibat hujan lebat.

“Justeru, saya berharap jika PH mengambil alih DUN ini, merampas daripada Barisan Nasional (BN), perkara pertama yang akan diberi tumpuan adalah memulihkan keadaan kerana kita difahamkan pengambilan tanah untuk takungan banjir telah pun dibuat.

“Dah lebih 10 tahun yang lalu. Jadi, saya rasa projek ini harus disegerakan,” katanya menerusi satu klip video bertajuk ‘Suara Untuk Semua’ yang disiarkan di platform Youtube pada Selasa.

Di bawah inisiatif ‘Suara Untuk Semua’, kesemua calon yang bertanding pada PRN Melaka, tanpa mengira parti dan ideologi politik boleh menyediakan klip video tentang diri mereka dan polisi masing-masing yang akan dibawa untuk dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Selain isu banjir, Mohd Rafee juga nekad untuk mempergiatkan sektor ekopelancongan di DUN Ayer Molek selaras dengan manifesto PH yang mahu memulihkan ekonomi setempat.

“Asasnya kita telah ada beberapa industri berkaitan pertanian dan juga kraftangan. Memang telah wujud sekian lama di kawasan ini. Jadi, sekiranya perkara ini berlaku, ekonomi tempatan bakal berkembang pesat sekali gus penduduk juga boleh mengambil peluang ini untuk memasarkan produk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafee turut memberikan penekanan dengan menyalurkan bantuan kepada golongan B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan fokus kepada bantuan persekolahan untuk anak-anak, bantuan kemasukan ke kolej Universiti Islam Melaka seterusnya memberi bantuan lampin pakai buang.

“Kita juga akan memberikan penekanan kepada masalah capaian internet yang tidak menyeluruh di kawasan DUN ini. Ini penting kerana kebanyakan mereka terutama pelajar sekolah memerlukan akses yang baik bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ada juga antara mereka tidak dapat menyertai PdPR kerana talian internet yang sangat lemah,” ujar Mohd Rafee.

Pada Selasa, sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 orang telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada PRN Melaka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi tersebut terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!