Marina Mahathir kongsi detik pengkhianatan terhadap kerajaan PH
SHAH ALAM - Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada petang, sehari selepas Langkah Sheraton nyata kurang disenangi bekas Perdana Menteri itu dan keluarganya.
Malah, anak Mahathir iaitu Datin Paduka Marina Mahathir mengakui, matanya hampir terbeliak seakan tidak percaya apabila melihat ‘kumpulan pemberontak’ itu mahu bergandingan dengan bapanya.
Apatah lagi mengenangkan Zahid yang berdepan dengan 47 pertuduhan rasuah dan Abdul Hadi yang ketika itu berjubah serta berserban serba putih tersenyum lebar kerana yakin dapat memujuk ayahnya.
“Mereka juga duduk di meja makan kami menghadap ayah. Muka ayah kelihatan lebih meluat daripada sebelum ini. Kehadiran mereka ini membuatkan rumah kami seolah-olah tidak lagi bersih. Jika (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak masuk ketika itu, saya rasa saya akan hilang sabar pula,” katanya.
Coretan itu adalah sebahagian daripada terjemahan petikan terakhir buku terbaru Marina, 'The Apple and the Tree' terbitan Penguin Random House SEA, memetik laporan yang disiarkan MalaysiaKini.
Selain Zahid dan Abdul Hadi, Marina turut menceritakan bagaimana keadaan rumahnya sehari selepas peristiwa bersejarah itu yang dipenuhi dengan orang ramai.
Malah katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut hadir ke kediaman Dr Mahathir dalam usaha memujuknya.
Bagaimanapun, tidak seperti sebelum ini, Azmin yang dibawa terus ke ruang makan dan duduk bersama adik-adiknya, kelihatan tidak tersenyum sebagaimana kebiasaan.
“Tidak lama kemudian, ayah dengan muka muram turun dan duduk di meja makan dikelilingi mereka yang bakal mengkhianatinya. Mulutnya diketap dan dahinya berkerut apabila mendengar hujah mereka.
“Saya berada di ruang tamu kira-kira lima meter jaraknya, tetapi satu-satunya suara yang saya dapat dengar dengan jelas ialah suara Azmin. Dia nampaknya orang yang paling tekad untuk melaksanakan pembelotan itu, meninggalkan kerajaan yang diberi mandat oleh pengundi untuk memerintah dan bekerjasama dengan mereka yang kalah,” coretnya.
Dalam buku itu juga, Marina berkongsi situasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir untuk berjumpa bapanya.
Beliau menggambarkan senyuman berkerut pada wajah Anwar selepas selesai pertemuan antara kedua-duanya, dengan mata yang tidak lagi bersinar sambil mengucapkan selamat tinggal dan beredar.
Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh pemerintahan yang didominasi oleh pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas yang kemudiannya terbentuk jajaran konfigurasi pakatan politik baharu dipanggil Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!