Sulaiman rayu masyarakat Tionghua sokong calon MCA
MELAKA - Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merayu masyarakat Tionghua di negeri ini untuk memberikan sokongan kepada tujuh calon Barisan Nasional (BN) dari MCA yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sulaiman berkata, biarpun majoriti calon itu merupakan muka baharu, namun mereka telah lama berkhidmat di kawasan masing-masing dengan menyantuni masyarakat Tionghua termasuk ketika BN menjadi pembangkang.
Menurutnya, dengan adanya calon dari MCA yang akan mewakili suara kaum itu, ia dapat merealisasikan hasrat untuk membina kerajaan negeri stabil, mewujudkan kepelbagaian kaum dalam kerajaan dan dapat membentuk kerajaan perpaduan yang mempunyai semangat muhibah.
Katanya, sejak 60 tahun lalu BN adalah sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mana dalam struktur pentadbiran itu merangkumi pelbagai kaum.
"Mohon kepada semua pengundi Cina yang berada di Melaka dan yang layak mengundi pada Sabtu ini dapat memberikan undi kepada calon-calon MCA yang diketengahkan.
"Kalau kita dapat bentuk kerajaan nanti, saya fikir masyarakat Tionghua mesti ada wakil dalam kerajaan yang bakal kita bentuk ini jika kita menang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan calon-calon MCA di Ayer Keroh di sini pada Rabu.
Pada PRN Melaka, BN bertanding di 28 kerusi DUN dan tujuh daripada kerusi itu merupakan calon MCA iaitu, calon BN Klebang, Datuk Lim Ban Hong, calon BN Bemban, Datuk Koh Chin Han dan calon BN Ayer Keroh, Yong Fun Juan.
Selain itu, calon BN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, calon BN Kesidang, Liong Hui Ying, calon BN Kota Laksamana, Low Chin Hon dan calon BN Banda Hilir, Lee Kah Sean.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!