Langgar SOP: YB Pekan sentiasa dalam perhatian saya - Khairy
KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau sentiasa memantau prosedur operasi standard (SOP) terutamanya sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.
Bahkan, katanya, kempen daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut berada dalam pemerhatiannya.
“Sudah pasti Yang Berhormat Pekan (Najib) ada dalam perhatian saya sentiasa setiap hari dan saya akan maklumkan kepada pihak penguatkuasa,” katanya.
Isu tersebut dibangkitkan RSN Rayer (PH - Jelutong) yang merujuk kepada rakaman video memaparkan Najib menurunkan tandatangan pada sebuah motosikal ketika berada di Melaka.
Menurut Rayer, insiden itu bukanlah kali pertama Najib dirakamkan melanggar SOP semasa berada di Melaka.
“Saya akan hantarkan video itu kepada Menteri, minta tindakan diambil. Kompaun maksimum RM50,000 kepada YB Pekan,” kata Rayer.
“Ya, malu apa bossku,” jawab Khairy ringkas sebelum meneruskan penggulungan Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan tiada aktiviti perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam dua program berasingan melibatkan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sebaliknya, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati, aktiviti kedua-dua pemimpin itu lebih berbentuk ‘walkabout’.
Bagaimanapun, menurut KKM, kedua-dua penganjur program tetap dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ini berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!