Kebajikan rakyat Kesidang keutamaan Patrick
SEBAGAI calon muda dan pertama kali menyertai pilihan raya, Patrick Ng Chin Kae mengakui berdepan cabaran hebat setelah diberi kepercayaan untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Kesidang.Namun, anak jati Kesidang ini percaya mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat seandainya dipilih pengundi kawasan itu.
Beliau juga melihat keperluan mendesak mengatasi masalah banjir di kawasannya dengan menaik taraf sistem perparitan baharu, selain meningkatkan taraf ekonomi rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Farah Shazwani Ali bersama Patrick Ng yang menanam impian untuk membuat perubahan di DUN Kesidang melalui platform politik.
SINAR HARIAN: Sejak bila saudara terlibat dalam politik dan mengapa?
PATRICK: Saya aktif dalam politik sejak tahun 2015. Sebelum itu, saya lebih aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Melaka Chinese Chamber, Persatuan Teochew Melaka dan Pusat Young Malaysian Movements. Sepanjang berada dalam NGO, saya banyak melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan dan ia menjadi platform untuk saya membantu orang yang memerlukan. Sebagai contoh, saya dapati di kawasan saya banyak perkara yang terabai dan menyakitkan mata seperti pokok tidak dipotong atau sampah tidak diangkut. Saya minta bantuan ahli politik untuk menyelesaikannya. Dari situ, saya melihat politik sebagai platform untuk saya membantu rakyat dan menyelesaikan masalah setempat.
Apakah perasaan saudara apabila dipilih menjadi calon PN?
Secara peribadi, saya akui gementar apabila dipilih sebagai calon untuk mewakili PN. Saya hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum watikah pelantikan sebagai calon diberikan. Pada masa itu, saya sedar tugas berat menanti dan saya tidak boleh berpatah balik malah perlu menerima amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh parti. Saya berjanji akan berikan apa yang termampu kepada rakyat.
Kempen dari rumah ke rumah tak dapat dibuat, calon hanya dibenarkan mengedar bahan kempen. Jadi, saya tumpukan kepada kempen bergerak menggunakan kenderaan dan melalui media sosial serta apa sahaja cara yang difikirkan sesuai serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Selain itu, saya juga mengambil peluang untuk berjumpa pengundi sewaktu berada di kedai makan dan tempat tumpuan seperti pasar untuk memperkenalkan diri. Cuma kelebihannya saya adalah anak jati Kesidang, jadi saya tahu selok belok kawasan ini dan kawasan mana yang perlu diberikan perhatian. Memandangkan pertama kali bertanding sebagai calon, saya perlu lebih kreatif dalam memperkenalkan diri kepada pengundi. Jadi, saya banyak memanfaatkan media sosial agar capaiannya lebih meluas kerana agak terhad untuk bertemu pengundi secara bersemuka.
Bagaimana saudara melihat kemampuan anak muda untuk memimpin?
Anak muda perlu diberi peluang untuk memimpin kerana kita telah terbiasa dengan persepsi mereka yang berusia lebih sesuai dan berkemampuan kerana pengalaman mereka. Tetapi, anak muda mempunyai visi dan misi yang tersendiri dan mereka lebih terkedepan serta berpandangan jauh. Anak muda adalah masa depan negara, mereka perlu diberikan peluang dan belajar sesuatu serta pada masa yang sama memimpin. Jika tidak sampai bila-bila pun orang muda tiada pengalaman.
Apakah pembaharuan yang ingin dilaksanakan sekiranya dipilih?
Perkara utama yang saya ingin selesaikan adalah sistem perparitan kerana setiap kali hujan akan berlaku banjir dan masalah ini berlarutan sejak sekian lama. Saya akan dapatkan peruntukan untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan ini. Selain itu, saya ingin menaik taraf kemudahan asas seperti jalan raya, kemudahan rekreasi untuk penduduk dan menambah baik liputan telekomunikasi dengan pembangunan infrastruktur. Saya harap pengundi DUN Kesidang memberi peluang saya sebagai anak jati kawasan ini berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka. Saya harapkan kita sama-sama membantu dalam menaikkan taraf ekonomi penduduk di sini.
Nama: Patrick Ng Chin Kae
Umur: 32 tahun
Kerjaya: Ahli perniagaan
Pendidikan: Diploma Stamford College, Melaka
Pengalaman:
- Ahli Jawatankuasa Melaka Chinese Chamber
- Ahli Jawatankuasa Persatuan Teochew Melaka
- Ahli Jawatankuasa Pusat Young Malaysian Movements
Jawatan Politik:
- Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka
- AJK Pusat Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Melaka
- Setiausaha Organisasi Gerakan Melaka
- Ketua Cawangan Gerakan Hujung Padang
- Setiausaha Pemuda Gerakan Melaka
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!