Kamarudin ketengahkan lima manifesto peribadi

Kamarudin (kanan) mengunjungi warga emas dan pesakit terlantar untuk bertanya khabar.
Kamarudin (kanan) mengunjungi warga emas dan pesakit terlantar untuk bertanya khabar.
A
A
A
MISI untuk mengubah landskap politik di N21 Duyong akan menjadi agenda utama bagi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Kamarudin Sidek yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka.

Jika sebelum ini, secara tradisinya kerusi N21 adalah milik parti DAP atau MCA, tetapi pada pilihan raya kali ini tidak mustahil kerusi yang dimiliki oleh DAP ini berjaya dirampas.

Mantan Penasihat Agama Ketua Menteri itu tidak gentar biarpun terpaksa berdepan enam penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, malah menganggap kesemua calon bertanding itu membawa pertandingan sihat.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Sarinah Mat Kasim bersama beliau mengenai fokusnya terhadap perubahan dan pembangunan yang ingin dilakukan di DUN Duyong.

SINAR HARIAN: Apakah misi dan visi Datuk pada PRN Melaka sebagai calon N21 Duyong?

KAMARUDIN: Misi dan visi utama saya adalah mahu membuat perubahan dari segi landskap politik, khususnya mengubah mentaliti rakyat di DUN ini, supaya berani membuat perubahan memilih. Secara tradisinya, DUN Duyong diwakili dalam kalangan calon parti DAP atau MCA, walaupun majoriti pengundi di DUN ini adalah kaum Melayu, iaitu sebanyak 63 peratus. Jadi, pada PRN kali ini, pengundi DUN Duyong perlu lakukan perubahan landskap politik dalam konteks membawa suara rakyat DUN Duyong.

Apakah cabaran yang dilalui sepanjang berkempen dalam suasana norma baharu ini?

Situasinya sangat berbeza, malah bukan saya sahaja tetapi hampir semua calon menghadapi kekangan yang sama. Dulu, calon boleh bersemuka bersama pengundi, berceramah dan anjur program, tetapi sekarang semuanya menjadi sukar. Pada peringkat awal dulu agak kaku dan tercari-cari formula bagaimana untuk berkempen, tetapi lama kelamaan perlu perbanyakkan kempen melalui medium media sosial. Setiap hari saya perlu membuat rakaman untuk pengisian dalam media sosial.

Selain itu, saya juga ada buat program Gegau Duyong, iaitu sembang santai bersama pemimpin Pas negeri dan pusat, melalui media sosial. Berkempen dalam media sosial ini berjaya menarik perhatian pengundi muda. Bagi menarik pengundi umur pertengahan dan juga warga emas, saya banyak menghabiskan masa bersama mereka di kedai kopi, masjid atau surau. Menjadi rutin saya akan solat berjemaah bersama kariah di situ, sekali gus memperkenalkan diri sebagai calon. Itu adalah salah satu alternatif yang digunakan untuk berjumpa pengundi.

Artikel Berkaitan:

Kamarudin (tengah) mengambil peluang untuk mendekati pengundi ketika solat berjemaah.
Kamarudin (tengah) mengambil peluang untuk mendekati pengundi ketika solat berjemaah.

Apakah perubahan yang Datuk ingin lakukan untuk masyarakat Duyong sekiranya diberi mandat?

Hasil ikrar dan manifesto PN yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin, saya juga ada beberapa fokus bagi DUN Duyong. Terdapat lima fokus yang akan menjadi garis utama untuk saya lakukan.

Pertama, sosioekonomi. Terdapat banyak lambakan peniaga dan penjaja kecil yang perlu dibantu supaya mereka dapat berniaga dengan sistematik dan lebih banyak ruang untuk masyarakat tempatan berniaga. Kedua, isu banjir kilat. Walaupun Melaka bukan negeri banjir, tetapi saya dan parti akan fokus untuk selesaikan masalah itu.

Hub pendidikan merupakan fokus ketiga saya untuk bangunkan satu sistem pendidikan tambahan dengan mengadakan kelas tuisyen secara percuma, khususnya untuk keluarga B40. Keempat, saya ingin menubuhkan satu Jawatan Kuasa Khas dalam kalangan anak jati duyong yang ada pengalaman dan profesional sebagai ahli pemikir untuk membincangkan bagaimana untuk membanggunkan Duyong. Hanya anak tempatan sahaja yang akan menjadi pemantau. Akhir sekali, saya ingin tumpu pembangunan sukan dan tempat beriadah dan juga mengatasi masalah aliran trafik.

Apa kelebihan yang ada pada Datuk selaku calon N21 Duyong yang tiada pada calon lain?

Saya hanya insan biasa, tetapi ada sedikit kelebihan berbanding calon lain. Saya pernah menjadi Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, iaitu semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Selama 18 bulan menjawat jawatan tersebut, saya tidak mempunyai sebarang isu yang boleh menjejaskan imej saya sehinggalah ke hari ini. Saya juga bukanlah muka baharu, saya pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum 14 lalu, jadi pengundi di sini sudah kenal dan biasa dengan saya. Saya yakin itu mampu memberi kelebihan kepada saya berbanding calon lain.

Apakah harapan Datuk pada PRN Melaka kali ini?

Kepada semua pengundi DUN Duyong, anda dinasihatkan supaya tidak terkeliru dengan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Pengundi perlu tahu PN menggunakan perkataan tetapi BN mengunakan logo, jadi jangan terkeliru. Pangkahlah calon PN, jika mahu perubahan landskap politik yang lebih berintergriti dan kepimpinan bersih. Semoga pengundi DUN Duyong dapat membuat pilihan yang tepat untuk masa depan yang lebih sejahtera, dengan memilih calon PN.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Datuk Kamarudin Sidek

Umur: 52 tahun

Lahir: Melaka

Pendidikan:

  • Fakulti Syariah Islamiah Al Azhar Mesir
  • Maahad As Somadiah, Thailand
  • Madrasah Al Latiffiah Kroh, Perak

Jawatan Politik:

  • Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka
  • Mantan Ketua Pemuda Pas Melaka
  • Yang Dipertua Pas Jasin
  • Mantan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!