Mentaliti final jadi bekalan Harimau Malaya
REALISTIK atau tidak, kini segala-galanya terpulang kepada skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dalam mencapai sasaran layak ke pentas final Piala Suzuki AFF 2020.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan pentas final tetap menjadi sasaran Harimau Malaya biarpun persiapan mereka agak terbatas.
Situasi itu telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air. Ada yang percaya anak-anak buah Cheng Hoe mampu mencapai sasaran itu.
Malah, ada juga yang berpandangan ranjau berliku menanti Harimau Malaya tatkala mereka turut diundi berada dalam satu kumpulan bersama-sama penyandang juara, Vietnam dan musuh tradisi, Indonesia.
Atas kertas, bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya menyambar slot final. Jika kena dengan percaturan, bukan mustahil juga buat mereka bergelar ‘sang juara’.
Berbaki kurang tiga minggu sebelum sepak mula Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Cheng Hoe secara rasmi mengumumkan senarai 28 pemain yang akan mengikuti kem latihan pusat.
Begitu pun, Cheng Hoe akan membawa 24 pemain bagi menggalas cabaran Harimau Malaya pada edisi kali ini yang dijadualkan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan.
Sebagai rekod, Malaysia berjaya melepasi saingan kumpulan sebanyak empat kali, selain beraksi di pentas final tiga kali dan menjulang kejuaraan edisi 2010 dalam lima edisi terakhir Piala AFF.
Kali ini Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos. Juara lima kali, Thailand pula berada dalam Kumpulan A bersama Filipina, Myanmar, Singapura dan Timor Leste.
Apa sekalipun, percaturan atas kertas, Cheng Hoe dan anak-anak buahnya harus bersiap siaga dalam misi menawan Kota Singa. Bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya kembali mengecap nikmat bergelar juara.
Ayuh buktikan! Sudah sampai masanya Harimau Malaya dapat kembali memegang status ‘Raja Asia Tenggara’ selepas kali terakhir melakukannya 11 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!