Abd Alim ambil berat luahan, masalah pengundi

Abd Alim turut mengambil berat golongan peniaga di kawasan setempat.
Abd Alim turut mengambil berat golongan peniaga di kawasan setempat.
A
A
A

Pas menampilkan lapan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan buat pertama kali mencuba nasib menggunakan logo Perikatan Nasional (PN). Keputusan itu menyaksikan kali kedua Pas bertanding tanpa menggunakan lambang sendiri.

Meskipun ada setengah pihak meramalkan parti itu kecundang, namun calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berpendapat formula itu akan menguntungkan Pas.

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli bersama Ahli Jawatankuasa Pas kawasan Jasin, Abd Alim Shapie tentang bagaimana cabaran dan agendanya jika dipilih mewakili suara penduduk DUN Merlimau.

SINAR HARIAN: Bagaimanakah maklum balas pengundi setakat ini dan apa yang mereka mahukan?

ABD ALIM: Respons mereka memberangsangkan dan ketika bertemu pengundi saya dikhabarkan tentang minat mereka untuk ‘bertukar selera’ dan inginkan pembaharuan. Mereka mahu beri peluang kepada pemimpin daripada parti lain pula untuk memimpin Merlimau yang sebelum ini disandang oleh BN. Insya-ALLAH jika diizinkan saya juga ada peluang di sini.

Apa agenda baharu yang tuan mahu bawa di Merlimau?

Secara dasarnya saya akan beri perhatian tentang beberapa elemen dalam pentadbiran dan pengurusan di DUN ini iaitu bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Apabila kepimpinan itu bersih, maka akar umbinya akan bersih dan lebih mudah untuk menyusun agenda rakyat. Saya percaya itu yang diharapkan oleh penduduk secara umum. Isu banjir juga akan diberi perhatian serius kerana dalam tahun ini sahaja, penduduk berdepan banjir yang serius sebanyak dua kali.

Artikel Berkaitan:

Abd Alim berkesempatan mendengar dan menjelaskan masalah rakyat ketika bertembung di pasar raya.
Abd Alim berkesempatan mendengar dan menjelaskan masalah rakyat ketika bertembung di pasar raya.

Apa pandangan tuan berkenaan dengan pertandingan tiga penjuru di DUN Merlimau?

Ia perkara biasa dan tidak dapat dielakkan. Ada kawasan yang berdepan pertembungan sehingga enam penjuru. Semestinya setiap calon akan berdepan persaingan yang hebat. Saya sedar kelebihan calon Pakatan Harapan (PH) datang daripada sokongan pengundi Cina. Saya harap pengundi Melayu terutama pengundi atas pagar dapat memberi sokongan kepada PN. Melihatkan senario politik, apa sahaja boleh berlaku.

Ini bukan pilihan raya pertama disertai tuan. Bezanya kali ini calon terikat dengan prosedur operasi standard (SOP). Apakah kekangannya?

Walaupun ada kekangan tetapi kami tidak terus disekat untuk berjumpa pengundi. Jadi saya ambil peluang berjumpa mereka di masjid, surau, warung atau pasar tani. Saya mengenalkan diri sebagai calon dan tidak bercakap soal politik. Saya juga berkempen dengan menggunakan platform media sosial dan ia satu pendekatan baik sekali gus dapat mengekang penularan Covid-19. Ada kebaikannya apabila tidak berlaku ketegangan atau kempen agresif seperti mana pilihan raya lain sebelum ini. Konsep berkempen norma baharu ini benar-benar berkesan.

Adakah tuan melihat formula Pas menggunakan lambang PN akan membuahkan hasil?

Saya rasa keputusan Pas menggunakan logo PN akan menguntungkan Pas. Rakyat tahu Pas bekerjasama dengan Bersatu di bawah PN. Jika menggunakan logo Pas, ia akan mengelirukan pengundi. Saya lihat ramai yang teruja dengan gabungan PN ini dan berharap kerjasama erat antara parti-parti Melayu.

Sebelum ini, kerusi DUN Merlimau disandang oleh BN. Adakah ia satu cabaran kepada tuan?

Cabaran tetap ada tetapi rakyat mahukan perubahan. Rakyat marah marah dan kecewa dengan pemimpin UMNO yang menyebabkan PRN Melaka terjadi. Mereka bubarkan DUN. Berbeza dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hilang Menteri Besar di Perak tetapi beliau tidak bubarkan DUN. Apabila hilang jawatan Perdana Menteri, beliau juga tidak pilih bubarkan Parlimen kerana fikirkan situasi Covid-19. Rakyat juga marah kerana pemain politik tidak sabar dan tidak mahu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Ada pendapat mengatakan pengundi muda lebih terarah menyokong calon muda. Apa strategi tuan untuk menarik sokongan pengundi muda di Merlimau?

Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Bagi saya tua atau muda bukan ukuran. Tidak semestinya pengundi muda hanya sukakan calon muda. Pengundi memilih calon yang diyakini dan disukai. Pemimpin memerlukan sokongan daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan agama.

Apa harapan tuan dalam pilihan raya ini?

Saya harap rakyat sudi memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada warga Merlimau. Saya akan cuba bantu apa yang pengundi tidak dapat sebelum ini. Selain itu saya akan gunakan pengalaman lebih 30 tahun bertugas di institusi perbankan untuk menyelami permasalahan ekonomi rakyat.

PROFIL

Abd Alim
Abd Alim

Nama: Abd Alim Shapie

Umur: 63 tahun

Asal: Kampung Pulai, Melaka

Pengalaman kerjaya:

- 35 tahun bekerja di RHB Bank

- Menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Perbankan Korporat

Pendidikan:

- Drake University, USA Master in Business Administration

- Drake University, USA Bachelor in Business Administration

- Institut Teknologi MARA, Diploma in Banking

Jawatan Politik:

- AJK Pas Kawasan Jasin (2019-kini)

- NYDP Pas Kawasan Jasin (2019-2021)

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!