Dhanesh pertaruhkan pengaruh belia Asahan

Respons kanak-kanak kecil ini turut menarik perhatian Dhanesh.
Respons kanak-kanak kecil ini turut menarik perhatian Dhanesh.
A
A
A

Pertembungan enam penjuru pasti memberikan saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Walaupun dilabelkan calon muda dan muka baharu, namun Dhanesh Basil, 29, tetap optimis untuk membawa Asahan ke peringkat yang lebih baik.

Dhanesh juga yakin dengan sokongan rakyat di DUN berkenaan walaupun perlu berdepan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada 20 November ini.

Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia itu beriltizam untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada masyarakat Asahan.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Mohd Azlim Zainury bersama Danesh berkaitan aspirasinya sebagai calon di DUN ini.

SINAR HARIAN: Sebagai pemimpin belia bagaimana saudara menonjolkan kewibawaan kepada golongan berusia, apakah kekuatan saudara yang dapat mewakili mereka?

DHANESH: Bagi saya, usia merupakan satu kekuatan untuk saya tunjukkan semangat, kewibawaan dan juga peranan untuk berkhidmat kepada masyarakat terutamanya di DUN Asahan ini. Selain itu, pengalaman saya dalam arena belia banyak mengajar mengenai semangat kesukarelaan dan berkhidmat untuk masyarakat yang menjadi motivasi serta inspirasi kepada saya setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Berdepan calon 'heawyweight' bagaimana persediaan saudara setakat ini dan respons pengundi?

Memang calon-calon yang bertanding di DUN Asahan mempunyai politik profil yang tinggi namun itu tidak menjadi halangan atau kekangan untuk saya meneruskan perjuangan. Rakyat sudah bijak membuat pilihan dan tahu pemimpin mana yang boleh memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Saya sudah membuat persediaan termasuk berjumpa dengan pemimpin akar umbi dan pengundi-pengundi di kawasan ini. Respons penerimaan rakyat sangat positif terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mereka juga menerima calon muda yang akan bertanding di sini.

Dhanesh memberi fokus kepada setiap peringkat usia tanpa mengira latar belakang keturunan dan agama.
Dhanesh memberi fokus kepada setiap peringkat usia tanpa mengira latar belakang keturunan dan agama.

Apa keutamaan yang akan ditawarkan kepada rakyat Melaka sekiranya saudara menang?

Apa yang ditawarkan melalui manifesto itu kami akan laksanakan. Saya juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu setempat. Manifesto saya membabitkan pembangunan infrastruktur dengan memfokuskan kepada penambahbaikan sistem bekalan air di DUN Asahan. Saya juga mahu perjuangkan isu Rancangan Rumah Generasi Kedua, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felcra bagi golongan belia.

Mengenai infrastruktur, banyak yang saya rancangkan seperti membina dewan serba guna di Asahan, kemudahan pam minyak dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pekan Nyalas. Saya juga berazam untuk mempertingkatkan perkhidmatan telefon dan jalur lebar di sekitar DUN Asahan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12. Keperluan Klinik Perunding Perubatan Pelawat bergerak termasuk mewujudkan Projek Perumahan Rakyat antara hasrat saya untuk rakyat di sini.

Saya turut memberikan tumpuan dan menyediakan peluang pelajaran serta pekerjaan kepada belia tempatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan mewujudkan Pusat Pendedahan dan Kemahiran bagi belia selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0. Pemberian RM1,000 kepada anak Asahan yang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta melalui Skim Biasiswa Anak Asahan turut disediakan.

Apa perubahan awal yang saudara bakal lakukan sekiranya terpilih?

Masalah bekalan air dan rumah generasi kedua peneroka Felda dan Felcra akan didahulukan. Saya akan pastikan anak-anak dan generasi kedua tidak meninggalkan Asahan. Kemudian barulah saya perhalusi perancangan yang lain secara teratur. Saya juga berhasrat untuk memperkenalkan 'smart farming' sebagai hab pertanian moden selaras dengan inisiatif yang dibawa oleh pemimpin di Parlimen Alor Gajah.

Mengapa rakyat wajar memilih saudara mewakili suara mereka di DUN Asahan ini?

Tumpuan awal saya adalah untuk menyelesaikan isu-isu semasa bermula dari bawah iaitu keperluan paling asas buat rakyat. Saya juga berpendapat anak muda dan wajah baharu harus diberi peluang dalam pilihan raya kali ini. Fenomena politik masa kini membuatkan rakyat muak dan penat, mereka tidak mahu landskap politik lama dengan pemimpin politik tidak berprinsip. Bagi saya, calon-calon muda ada kelebihan untuk menang.

PROFIL

Dhanesh Basil
Dhanesh Basil

Nama: Dhanesh Basil

Tarikh lahir: 23 April 1992

Tempat lahir: Melaka

Pendidikan:

- Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka

- Bachelor Perakaunan (Hons), Universiti Multimedia Melaka

Pengalaman profesional:

- Ahli Parlimen Belia Malaysia, Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa dan

Diplomatik (2014-2015)

- Felo Perdana kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2016)

- Pengarah Belia, Pertubuhan Komanwel DiRaja Malaysia (2016)

- UK-Malaysia British High Commissioner Youth Advisory Board (2016)

- Penyelaras Pertubuhan Komanwel DiRaja Benua Asia (2020)

Penglibatan sosial

- Pengasas, Pengerusi, Persatuan Pemuda India Negeri Melaka (2012)

- Majlis Perwakilan Pelajar MMU Melaka (2013)

- Pengerusi Majlis Belia India Negeri Melaka (2018 - kini)

- Ketua Penerangan Majlis Gabungan Belia Melaka (2019 - kini)

- Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (2021-kini) Presiden Majlis Belia

India Malaysia (2020-kini)

- Anugerah Golden Achievement Award MMU 2015

- Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Melaka (2019)

- Pingat Bakti Belia (2021)

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!