Bomba ambil sampel tompokan minyak hitam baharu
JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sedang berbincang dengan penduduk Kampung Bukit Pulai Pasir Putih di Pasir Gudang berhubung penemuan satu tompokan minyak hitam baharu yang dilaporkan orang awam di kawasan sungai berhampiran, hari ini.
Ketua Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Johor yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolongan Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, tompokan itu dilaporkan dikesan pada jarak kira-kira 1 kilometer dari tempat pembuangan sisa kimia pada Khamis lalu.
"Kita percaya tompokan itu adalah sisa kimia di Sungai Kim kim yang terlepas ke kawasan pendalaman sebelum kerja-kerja pembersihan menggunakan 'oil boom' di dilakukan pada Khamis,” katanya di sini.
"Sekarang ini, kita tengah berbincang dengan penduduk untuk ke sana kerana hanya mereka sahaja yang tahu lokasi dan laluan ke tempat itu (tempat tompokan).
"Tambahan pula, hanya bot nelayan yang bersesuaian sahaja boleh memasuki laluannya," katanya.
Menurutnya, sebarang perkembangan mengenai usaha itu akan dimaklumkan kepada media kemudian.
Pembuangan sisa kimia ke sungai itu pada Khamis lalu menyebabkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh yang terletak berhampirannya, ditutup ekoran kualiti udara yang tercemar. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kim Kim masih tercemar?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!