Guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

Abdul Aziz (kanan) menandatangani plak perasmian pada Program Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Kali Ke-13 dan Perasmian Dewan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam pada Khamis.
Abdul Aziz (kanan) menandatangani plak perasmian pada Program Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Kali Ke-13 dan Perasmian Dewan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang masih berdegil tidak mengambil vaksin Covid-19 berdepan tindakan tegas termasuk boleh diberhentikan kerja.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan mengikut undang-undang akan diambil jika mereka masih ingkar dengan arahan ditetapkan.

Menurutnya, mengikuti prosedur operasi standard (SOP) guru KAFA yang enggan menerima vaksin tidak dibenarkan mengajar dan berinteraksi dengan murid.

"Pada peringkat awal kita akan memberi amaran kepada guru terbabit dan ada kemungkinan diberhentikan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan Kali Ke-13 dan Perasmian Dewan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di sini pada Khamis.

Abdul Aziz berkata, tindakan tegas itu bukan bertujuan menganiaya mana-mana pihak tetapi jika mengikut peraturan pekerjaan mereka boleh diambil tindakan jika ingkar arahan majikan.

Bagaimanapun, jelas beliau, sebelum sebarang tindakan tegas diambil termasuk pemberhentian kerja beberapa peringatan dan nasihat akan diberikan kepada pihak terlibat termasuk menghantar notis dan surat memaklumkan mereka boleh mengambil vaksin di tempat terdekat.

"Mereka tidak perlu datang ke Shah Alam untuk suntikan vaksin kerana ia mengambil kira pelbagai kos. Setelah sudah lengkap vaksin mereka kemudian perlu melaporkan kepada ibu pejabat MAIS," jelasnya.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai data keseluruhan mereka belum menerima suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mempunyai bilangan yang tepat tetapi apa yang pasti ia membabitkan sebilangan kecil sahaja yang belum divaksin kerana ada di antara mereka memberi alasan disebabkan masalah kesihatan.

"Kita tidak mahu menyusahkan mereka kerana mengikut hukum Islam vaksin ini harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kempen melalui pengambilan vaksin seperti penerangan juga telah dibuat dan misalnya masih berdegil, tindakan seterusnya akan diambil," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!