Projek lewat siap, 111 pembeli saman PR1MA RM3.02 juta

Norsyahila (tengah) ditemani Syafiqah (kanan) menghantar surat saman ke bangunan PR1MA pada Khamis.
Norsyahila (tengah) ditemani Syafiqah (kanan) menghantar surat saman ke bangunan PR1MA pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 111 pembeli rumah Residensi PR1MA Tebrau di Johor memfailkan tuntutan ganti rugi jumlah tertentu (LAD) berjumlah RM3.02 juta terhadap Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) disebabkan kelewatan penyerahan milikan kosong projek perumahan tersebut.

Wakil pembeli, Norsyahila Abdul Khalid, 45, berkata, pembeli-pembeli rumah PR1MA terkesan secara langsung dan tidak langsung disebabkan kelewatan penyiapan projek tersebut.

"Ini kerana terdapat ramai pembeli yang telah menandatangani surat tawaran pembelian pada tempoh yang lebih awal, namun perjanjian jual beli hanya ditandatangani selepas suatu tempoh yang lama iaitu sehingga mengambil masa setahun lebih.

"Kelewatan penyediaan perjanjian tersebut yang memakan masa sehingga setahun lebih merupakan tempoh yang tidak munasabah dan memprejudiskan hak pembeli dalam tuntutan LAD tersebut," katanya selepas menghantar surat saman tersebut ke bangunan PR1MA, Ara Damansara pada Khamis.

Turut hadir peguam mewakili pembeli, Syafiqah Md Shafie daripada Tetuan Mohd Akhir & Partners.

Tambah Norsyahila, selain isu kelewatan, pembeli juga merasa teraniaya susulan terdapat unit yang diterima tidak boleh diduduki disebabkan masalah kerosakan seperti kebocoran dan 'finishing' rumah.

"Kebanyakan yang mengemukakan saman ini adalah pembeli pertama (terawal) yang ditawarkan unit pada tahun 2016 dan menurunkan tandatangan pada 2017.

"Kami telah menunggu terlalu lama, ada antara kami yang perlu membayar sewa rumah dan ansuran rumah, tetapi apabila dapat unit keadaannya tidak boleh diduduki. Ada sebahagian pembeli terpaksa juga masuk dalam keadaan rumah tidak lengkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka sebelum ini telah mengadakan rundingan dengan pihak PR1MA sejak 2019, namun tidak menemui jalan penyelesaian menyebabkan tindakan saman diambil.

Sementara itu, Syafiqah berkata, projek Residensi PR1MA Tebrau dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 28,680 meter persegi telah diberi kelulusan untuk memulakan projek seawal 4 November 2014.

Walau bagaimanapun katanya, Notis Pemilikan Kosong bagi projek perumahan tersebut hanya berjaya diserahkan kepada pembeli-pembelinya pada 15 April 2021.

"Sehingga ke hari ini, kemudahan bersama bagi projek tersebut juga masih belum dilengkapkan sepenuhnya dan pemaju berniat untuk menggunakan 'sinking fund' bagi menyediakan kelengkapan kemudahan bersama, namun perkara ini adalah melanggar perjanjian antara pemaju dan pembeli.

"Pemaju seharusnya menyediakan dan melengkapkan kesemua kemudahan bersama sebelum diserahkan untuk digunakan oleh pembeli-pembeli perumahan tersebut," katanya.

Katanya, mahkamah telah menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!