181,149 penerima PeKa B40 hidap penyakit tidak berjangkit

Tiga orang penduduk sekitar Felda Panching sedang berkongsi maklumat bersama wakil PeKa B40.
Tiga orang penduduk sekitar Felda Panching sedang berkongsi maklumat bersama wakil PeKa B40.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 181,149 daripada 536,319 penerima manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) sehingga 31 Oktober lalu dan menunjukkan angka yang membimbangkan.

Pengurus PeKa B40, Dr Muhammad Fairuz Abdullah berkata, kebanyakan mereka yang membuat saringan tidak pernah mengetahui menghidapi NCD seperti kencing manis, kolesterol tinggi, darah tinggi, masalah mental dan obesiti.

Dr Muhammad Fairuz Abdullah
Dr Muhammad Fairuz Abdullah

“Data ini menunjukkan NCD terlalu tinggi. Kami meminta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan berumur 40 tahun ke atas membuat saringan.

“Menerusi PeKa B40, mereka memperoleh empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Peka B40 Outreach di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Panching Selatan pada Rabu.

Dr Muhammad Fairuz berkata, PeKa B40 memberi penekanan kepada pengesanan awal NCD bagi golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kelayakan penerima manfaat Peka B40 di Pahang, Dr Muhammad Fairuz berkata, seramai 268,408 individu yang layak disaring kesihatannya setakat Ogos pada tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15,397 individu sudah membuat saringan kesihatan di klinik di negeri ini.

“Sebanyak 94 peratus lagi belum membuat saringan dan kita berharap mereka segera ke klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Sayuti Abu Bakar dari Klinik Al-Amin berkata, PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan dalam penjagaan kesihatan jangka panjang.

Dr Mohd Sayuti (kiri) sedang bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penduduk yang hadir melakukan pemeriksaan kesihatan pada program itu.
Dr Mohd Sayuti (kiri) sedang bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penduduk yang hadir melakukan pemeriksaan kesihatan pada program itu.

“Walaupun kita antara barisan klinik yang menyediakan khidmat saringan kesihatan kepada penerima ini, tetapi sambutannya agak kurang menggalakkan.

“Kita harap program Peka B40 Outreach di Felda Panching ini membuka peluang kepada penduduk setempat mendapat saringan untuk kesihatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felda Panching Selatan, Kharif Mohamad pula berkata, program Peka B40 amat dinantikan penduduk di kawasan Felda.

Katanya, itu adalah peluang untuk mereka menjalankan saringan kesihatan di kawasan perumahan tanpa perlu ke bandar.

“Sebagai penduduk kampung, sudah tentu kami gembira dengan program ini, ramai golongan berusia datang membuat pemeriksaan kesihatan.

"Kalau boleh pihak ProtecHealth mengadakan lagi program begini terutama di kawasan pedalaman," katanya.

REAKSI

"Saya baru tahu mengenai PeKa B40 apabila ada program Peka B40 Outreach di Felda Panching dan apabila datang di sini saya dapati layak dan segera membuat saringan untuk mengetahui tahap kesihatan.” - Pesara, Faridah Mohammad, 59.

Faridah Mohammad
Faridah Mohammad

“PeKa B40 memberikan kemudahan kepada saya untuk menjalani rawatan jika mempunyai penyakit, tidak perlu keluar banyak duit atau berhutang sana-sini.” - Peneroka Felda Muhammad Jaafar, 81.

Mohammad Jaafar
Mohammad Jaafar

“Saya merupakan bekas pesakit kanser. Saya datang untuk memeriksa tahap kesihatan selepas mengetahui bahawa Peka B40 menawarkan saringan kesihatan secara percuma,”- Peneroka, Siti Zaharah Jaafar, 71.

Siti Zaharah Jaafar
Siti Zaharah Jaafar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!