Mas Ermieyati calon Ketua Menteri Melaka PN
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia pertama kali dalam sejarah negara sesebuah parti mengangkat wanita sebagai Ketua Menteri.
"Ini adalah saya kira pertama kali dalam sejarah negara, seorang wanita yang berkelayakan tinggi, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri.
"Saya tahu tidak pernah ada di negara kita (calonkan wanita sebagai ketua menteri), tetapi terbukti PN sentiasa memberikan ruang kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina lelaki atau wanita untuk pegang jawatan penting.
"Saya harap pengundi akan memberikan sokongan kepada PN dengan harapan agar calon Ketua Menteri kita akan terpilih secara hakikinya oleh perlembagaan negeri Melaka sebagai Ketua Menteri wanita yang pertama untuk Melaka dan Malaysia," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PN pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.
Mas Ermieyati yang bertanding di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!