Kita sentiasa ada pilihan untuk tolak rasuah: Nurul Izzah

Nurul Izzah ketika menjadi panelis semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Duhai Anak Muda Apa Dah Jadi?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Nurul Izzah ketika menjadi panelis semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Duhai Anak Muda Apa Dah Jadi?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua rakyat Malaysia termasuk anak muda sentiasa mempunyai pilihan untuk mempertahankan integriti masing-masing meskipun senario politik negara kini berada di tahap yang buruk.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, setiap individu mempunyai keupayaan untuk membuat perubahan berdasarkan ruang lingkup yang dimiliki.

Katanya, pengalaman berkecimpung dalam bidang politik sejak usia muda dan menjadi pembangkang selama tiga penggal memperlihatkan bahawa kesemua cabaran melibatkan isu integriti boleh ditangani sekiranya seseorang memiliki prinsip yang betul.

“Waktu menjadi ahli Parlimen pembangkang telah mengajar saya bahawa tanpa peruntukan pun kita masih lagi boleh melakukan gerak kerja untuk membantu rakyat. Itulah tanggungjawab saya sebagai individu yang juga wakil rakyat.

“Jadi, kita sentiasa ada pilihan dan atas dasar itulah yang saya pegang kerana tanpa kompas moral, apa guna hidup kita kerana pada akhirnya, itulah yang menghubungkan kita di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menjadi panelis program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Duhai Anak Muda Apa Dah Jadi?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Program dikendalikan oleh moderator Amin Idris itu turut menampilkan Pengasas Bersama Undi 18, Qyira Yusri dan kolumnis, Nathaniel Tan sebagai panelis.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri; Amin Nurul Izzah Qyira Nathaniel ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Duhai Anak Muda Apa Dah Jadi?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Dari kiri; Amin Nurul Izzah Qyira Nathaniel ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rasuah: Duhai Anak Muda Apa Dah Jadi?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengakui bahawa ramai anak muda berasa terasing sehingga berputus asa untuk membuat perubahan dalam politik termasuk gejala rasuah yang dilihat sinonim dengan bidang tersebut.

Beliau berkata, hal tersebut berlaku kerana pimpinan politik pada masa kini dilihat kurang empati dengan nasib serta isu utama dialami golongan anak muda seperti pendidikan, kekurangan peluang pekerjaan dan penetapan gaji minimum.

Tambah beliau, pimpinan negara juga dilihat gagal menunjukkan tauladan yang baik kepada anak muda.

“Mereka ini (anak muda) kadang-kadang dilayan macam tidak penting, tidak matang atau tidak faham isu yang ada sedangkan masalah yang berlaku di Malaysia ini kesannya merentasi kesemua generasi.

“Jadi, isu sekarang bila hilangnya empati, banyak orang terasing dan mereka merasakan tidak ada kuasa nak mengingatkan orang yang berjawatan serta mengubah masalah yang ada,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen menangani rasuah seperti yang digerakkan melalui pasukan Rasuah Busters perlu diteruskan sehingga sekurang-kurangnya masyarakat tidak lagi memberikan status ‘jaguh’ kepada individu yang terkait dengan isu rasuah.

“Ia memang akan memakan masa, tetapi itu adalah syarat minimum,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!