Kilang milik keluarga dijadikan stor simpan dadah RM1.52 juta

Yahaya menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Yahaya menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki menjadikan sebuah kilang milik keluarganya sebagai stor menyimpan dadah terbongkar apabila suspek ditahan dalam Ops Kingfisher di Kampung Cheras Baru di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 4 petang.

"Kita turut merampas dadah ketamin seberat 20.66 kilogram (kg), methamphetamine (7.4 kg) dan ekstasi (3.30 kg) yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Yahaya berkata, modus operandi lelaki itu adalah menjadikan kilang yang sudah tidak beroperasi sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Dadah yang dirampas itu disyaki adalah untuk pasaran tempatan. Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM200," katanya.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seramai tiga lelaki ditahan dalam Ops Lizard di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

"Kesemua lelaki berusia 28 hingga 31 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang. Kita turut merampas dadah ganja (31.51 kg) dan 2,800 biji pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM122,025," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM42,551.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran dadah.

"Dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat sahaja," katanya.

Yahaya memaklumkan kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!