PH umum calon esok atau lusa
SEREMBAN - PH akan mengumumkan calon bagi PRK DUN Rantau dalam masa sehari dua lagi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah mendengar pandangan semua pihak termasuk cabang negeri yang kemudiannya dibawa ke Biro Politik untuk dipertimbangkan.
Katanya, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), menyerahkan enam nama untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan Pusat, tanpa terikat sama ada kaum Melayu atau India.
"Proses yang kita ambil, kita dengar pandangan daripada cabang kita, bincang dan bawa ke Biro Politik dan kita bincangkan semula untuk dapatkan input yang lebih.
"Mungkin atau esok saya akan umumkan calon dan sebab-sebab rasional kita memilih calon itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PKR Cabang Rembau di Pekan Rantau di sini tadi.
Hadir sama, Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam.
Sementara itu, ketika ditanya adakah Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram akan dikekalkan sebagai calon di DUN Rantau, beliau berkata, kemungkinannya semua ada.
"Kemungkinan itu semua ada, tapi bila kita buat keputusan, tentulah kita bagi pertimbangan, kita tak nafikan hak sesiapa tentang apa yang dia buat dan peranannya turun naik mahkamah.
"Tapi bila kita buat keputusan, saya berharap parti menerimanya dan saya percaya kita boleh bergerak secara kompak sebagai satu pasukan yang padu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!