KKR keluar 108 surat setuju terima projek pembinaan hingga November

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 108 surat setuju terima (SST) bagi projek pembinaan yang diluluskan kerajaan Persekutuan telah diserahkan kepada syarikat yang terlibat hingga awal November.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut selari dengan sasaran untuk menyerahkan 120 SST kepada syarikat terlibat dalam tempoh 100 hari pencapaian kementerian itu.

Katanya, ia merupakan usaha kementerian dalam melaksanakan agenda pemulihan ekonomi bagi sektor pembinaan terutama meningkatkan infrastruktur rakyat.

“Penyerahan SST ini memainkan peranan penting bagi menggerakkan kembali ekonomi negara melalui projek pembinaan yang akan diberi kepada kontraktor peruntukan itu akan turun dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Malah, ia juga memberi ruang ekonomi kepada pembekal sektor pembinaan termasuk konsultan, peguam, pihak bank dan akhirnya akan meluaskan ruang pekerjaan dan ekonomi yang akan memberi impak pembangunan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berkongsi aspirasi Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada Khamis.

Selain itu, KKR juga sedang berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk memastikan kadar tol tidak dinaikkan dan menetapkan kadar tol baharu yang lebih rendah supaya tidak membebankan rakyat.

“Sekiranya rundingan itu berjaya menetapkan kadar tol lebih rendah, tercapai hasrat kita untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan kewangan mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!