Polis Manjung terima 77 laporan tolak vaksin
MANJUNG - Polis daerah ini telah menerima 77 laporan daripada orang awam yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan itu diterima daripada pelbagai golongan masyarakat dan latar belakang dengan sebahagian besarnya adalah kalangan guru.
"Antara sebab dinyatakan mereka tidak mahu divaksin adalah kerana bimbang dengan sebarang implikasi selain meragui status vaksin itu sendiri," katanya ketika ditemui sempena program Erat Kasih Prihatin anjuran Rumah Ngaji Teluk Muroh dan Mercy Malaysia Perak Chapter bersama Combi Teluk Muroh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua kes berkenaan sudah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rekod dan tindakan lanjut.
"Pengambilan vaksin ini penting demi kebaikan bersama sebagai benteng dan ikhtiar kita membantu mengurangkan risiko dijangkiti atau menjangkiti orang lain," katanya.
Sementara itu, Nor Omar memaklumkan, sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan ke atas pengunjung Pulau Pangkor sejak kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan, bulan lalu.
Katanya, kesalahan paling tinggi dilakukan adalah membabitkan perkara asas seperti kegagalan mengimbas kod aplikasi MySejahtera atau merekod kehadiran dalam buku, tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.
"Hasil pemantauan dijalankan kita dapati orang ramai menyedari kepentingan kawalan kendiri dan rekod menunjukkan pengunjung ke Pangkor juga semuanya sudah mendapatkan dua dos vaksin," katanya.
Pada majlis itu, seramai 17 anggota dan pegawai awam IPD Manjung yang selesai menjalani kuarantin diri menerima sumbangan berupa kotak makanan.
Hadir sama menyampaikan bantuan, Pengerusi Mercy Malaysia Perak Chapter, Dr Dzulkarnaen Ismail dan Pengerak Rumah Ngaji, Datin Maziah Rafie.
Dr Dzulkarnaen berkata, bantuan berupa barangan keperluan makanan itu sebagai menghargai anggota barisan hadapan yang bertungkus-lumus berkorban masa dan tenaga menjaga kebajikan masyarakat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!