Warga emas gembira terima Rumah Kurnia

Al-Sultan Abdullah (tiga,kanan) bertanyakan sesuatu kepada Ramlah (dua,kanan) ketika melihat sendiri dalam rumah tersebut sambil diperhatikan Tengku Muhammad (kiri,duduk)
Al-Sultan Abdullah (tiga,kanan) bertanyakan sesuatu kepada Ramlah (dua,kanan) ketika melihat sendiri dalam rumah tersebut sambil diperhatikan Tengku Muhammad (kiri,duduk)
A
A
A

TEMERLOH - Selepas tujuh bulan menanti, seorang warga emas dari Kampung Lompat kini boleh menarik nafas lega selepas Rumah Kurnia Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sudah boleh didiami.

Sebelum ini, kediaman Ramlah Hitam, 81, yang terletak kira-kira 100 meter dari Sungai Semantan tenggelam akibat banjir selama seminggu bermula 4 Januari lalu.

Ramlah juga menganggap kediaman baharu itu sebagai hadiah untuknya yang kini tinggal bersama anak, Siti Rokiah Zainal Abidin, 52.

"Selepas ini saya tidak bimbang lagi kerana rumah ini dibina tinggi berbanding rumah asal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis ketika penyerahan replika kunci yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di kampung tersebut.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang mencemar duli ke kampung tersebut pada 11.30 pagi diiringi anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Rumah Kurnia yang dibina untuk Ramlah di Kampung Lompat yang siap dibina dua minggu lalu.
Rumah Kurnia yang dibina untuk Ramlah di Kampung Lompat yang siap dibina dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Exco Kerajaan Tempatan dan Peruamahan Pahang, Datuk Rahim Muda; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kediaman itu dapat memberikan keselesaan kepada Ramlah selain berada dalam selamat ketika musim banjir.

"Saya juga berharap rumah ini dapat dijaga sebaik mungkin dan bertahan hingga seratus tahun," titah baginda lagi.

Sembah taklimat mengenai pembinaan rumah tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Ir Hafizah Zakaria.

Seri Paduka kemudiannya berangkat pulang kira-kira jam 12 tengah hari untuk ke lokasi Rumah Kurnia seterusnya di Kampung Pangsenam dan Kampung Tanjung Pasir.

Rumah Kurnia menelan kos kira-kira RM100,000 menggunakan reka bentuk rumah bertiang dilengkapi beberapa utama termasuk ruang makan, ruang tamu, bilik tidur dan bilik air membabitkan keluasan 89.2 meter persegi serta tangga di hadapan dan belakang rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!