Sasar pengeluaran 630,000 tan metrik produk akuakultur pada 2025
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pengeluaran 630,000 tan metrik daripada sektor akuakultur pada 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata bagi tujuan itu, kementerian melalui Jabatan Perikanan telah dan sedang melaksanakan usaha pembangunan industri akuakultur dengan memantapkan ladang sinergi melalui pengukuhan projek sedia dan penambahan projek atau kawasan baharu.
“Sebanyak tiga ladang sinergi akan ditambah dengan sistem ternakan baharu iaitu Pulau Aman di Pulau Pinang serta Pulau Pangkor dan Teluk Temenggor di Perak,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai usaha menggalakkan pengeluaran hasil akuakultur untuk eksport di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, MAFI turut memperkasakan estet ikan dengan mengekalkan produktiviti sedia ada serta menambah estet-estet baharu, selain mengukuhkan kluster ternakan dan pembenihan dengan mewujudkan program pembenihan ikan seperti siakap, kerapu, tilapia dan udang laut.
“MAFI juga akan mewujudkan program Aqua Bijou bertujuan untuk memberi sokongan kepada komuniti dan pengusaha ikan hiasan seperti betta, gupi dan udang hiasan,” katanya.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, beberapa strategi dirangka untuk mengeksport hasil akuakultur ke luar negara termasuk pemberian insentif bagi mengalakkan pengusaha akualtur memohon Pensijilan MyGAP (Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia).
“Selain itu, memfokuskan komoditi ternakan akuakultur kepada spesis yang mempunyai permintaan tinggi di luar negara seperti udang putih, ikan kerapu, ikan siakap, udang harimau dan rumpai laut dan menyediakan kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) untuk pelabur-pelabur,” katanya.
Beliau menjelaskan, MAFI juga akan menyediakan insentif pengecualian cukai sehingga 100 peratus ke atas pendapatan berkanun perniagaan selama 10 tahun serta kemudahan kredit melalui institusi-institusi perbankan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!