Bekas anggota Rela didakwa buat tuntutan palsu, salah guna wang

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

SANDAKAN - Seorang bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu dan salah guna wang berjumlah RM9,542.40 berhubung penugasan kawalan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Labib Hanif Ali, 30, didakwa memberikan dokumen tuntutan bayaran elaun penugasan kawalan keselamatan kawasan ESSZone berjumlah RM1,622.40 yang palsu kepada penolong akauntan Georgina Tanggak dengan niat memperdayakan Timbalan Pengarah Rela Sabah Henra Herman.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Rela Sabah, Kota Kinabalu pada 10 Julai 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Labib turut didakwa menyalahgunakan harta atau lebihan wang tuntutan elaun penugasan kawalan keselamatan kawasan ESSZone bagi Jun 2018 berjumlah RM7,920 di Pusat Komuniti Rela Kampung Batu Putih dekat sini pada Julai 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala Labib tidak diwakili peguam. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!