TNB rancang labur RM22 bilion bangunkan grid masa depan
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022-2024 di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), tertakluk pada kelulusan kerajaan untuk terus membangunkan grid masa depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, bagi menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik, sambil mengekalkan kestabilan voltan.
“Menyedari komitmen TNB untuk terus mengutamakan pelaburan dalam memodenkan grid nasional ke arah grid masa hadapan, langkah ini dapat mewujudkan sistem grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital di samping fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.
“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan 'International Conference on Learning and Development' (ICLAD2021) di Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Ali, ia juga akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis-premis pelanggan.
“Pelanggan sudah pun menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun lalu melalui pelaburan modal TNB dan juga di bawah IBR,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Roslan Ab Rahman pula berkata, TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga, selaras usaha-usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada kerajaan.
Ulas beliau, isu perubahan iklim menjadi keutamaan utama pelaburan TNB di samping menyokong dan merangsang agenda pemulihan ekonomi negara.
“Sasaran TNB ialah untuk meningkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan, selain menggalakkan penggunaan tenaga hijau untuk mengimbangi keupayaan dan keselamatan sistem grid Malaysia.
“Melalui usaha kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini, TNB juga bersedia untuk menerajui peralihan Malaysia kepada mobiliti rendah karbon terutamanya melalui teknologi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV),” ujarnya.
Mengenai ICLAD2021, Roslan berkata, persidangan antarabangsa itu adalah platform perbincangan intelektual mengenai bidang pembelajaran dan pembangunan industri tenaga di Malaysia serta seluruh dunia.
“Kini memasuki tahun kelima, ICLAD 2021 dianjurkan ILSAS, institusi latihan teknikal milik TNB,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!