Kekuatan spritual rahsia kejayaan Azizulhasni

Perkongsian yang dimuatnaik Azizulhasni Awang di laman Facebooknya.
Perkongsian yang dimuatnaik Azizulhasni Awang di laman Facebooknya.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan rahsia beliau meraih kejayaan serta cemerlang dalam bidangnya bukan sahaja bergantung kepada kekuatan fizikal dan mental tetapi turut memerlukan kekuatan spiritual.

Perkara tersebut dikongsikan pelumba berusia 33 tahun di laman sosialnya ketika mengimbau mengimbau kembali peristiwa semasa waktu rehat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Jincheon, Korea Selatan dua tahun lalu.

“Kami turun ke sana dengan misi untuk mengutip mata penting di dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan saya ketika itu tidak turun dengan prestasi terbaik kerana terlibat dengan kecederaan dimana jari saya hampir putus ketika latihan.

“Walaubagaimanapun situasi itu tidak memutuskan harapan saya, dan saya masih ingin membawa pulang kejayaan untuk pasukan Malaysia.

"Ketika ada waktu rehat pendek sebelum perlumbaan seterusnya, saya mengajak rakan sepasukan untuk ke ‘lounge’ yang disediakan dan kami memilih untuk menyelesaikan tuntutan agama di dalam keadaan yang genting tersebut,”katanya.

Dalam hantaran tersebut, beliau berkata sekiranya seseorang itu serabut dengan hal dunia dan resah, mereka perlu kembali kepada fitrah dengan memohon petunjuk dan bantuan ALLAH.

“Ketika otak berserabut dengan hal dunia dan kita resah serta gelisah, pulanglah kepada fitrah. Mohon petunjuk dan minta bantuan daripada Yang Maha Membantu dan Yang Maha Mengetahui.

“Ya betul, di atas dunia ini ada pelbagai ilmu-ilmu umum yang manusia kuasai tetapi ilmu Allah itu adalah suatu yang tidak ada makhluk ketahui,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengakhiri perkongsian tersebut Azizulhasni berkata, selepas menunaikan solat beliau turun berlumba di final acara pecut dengan pelumba pilihan daripada Jepun, Yuta Wakimoto dan berjaya memenangi acara tersebut.

“Selepas solat, saya berlumba di final acara pecut dengan pelumba Jepun (Yuta Wakimoto) yang hadir dengan tahap kondisi terbaik dan muncul sebagai pelumba pilihan untuk menang.

"Tapi jika Allah kata kemenangan itu milik kita, maka ia akan jadi milik kita juga walau apa pun halangan kita terpaksa tempuhi.

“Syukur Alhamdulillah saya menang dan kemenangan itu membuktikan untuk cemerlang dan menang bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tapi juga kekuatan spiritual,"ujarnya.

Untuk rekod, kemenangan Azizul dalam acara pecut itu merupakan satu-satunya pingat emas dimenangi skuad negara pada kejohanan itu selepas beliau tewas kepada Wakimoto pada perlumbaan final keirin dua hari sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!