Telur ayam naik harga RM1.50 sepapan

Harga telur ayam naik RM1.50 sepapan iaitu RM13.50 berbanding RM12 sepapan sebelum ini di sekitar Kota Bharu.(Gambar hiasan), gambar kecil dari kiri: Aminah Munirah, Siti Adha Farahani
Harga telur ayam naik RM1.50 sepapan iaitu RM13.50 berbanding RM12 sepapan sebelum ini di sekitar Kota Bharu.(Gambar hiasan), gambar kecil dari kiri: Aminah Munirah, Siti Adha Farahani
A
A
A

KOTA BHARU – Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi kedai di sekitar Kota Bharu mendapati harga telur ayam naik RM1.50 sepapan iaitu RM13.50 berbanding RM12 sepapan sebelum ini.

Seorang peniaga, Wan Zakira Wan lokman, 30, memberitahu, sebelum ini dia dapat menjual RM2 untuk lima biji telur gred A, namun kini disebabkan kenaikan, dia terpaksa menjual pada harga RM1 untuk dua biji.

“Sebelum ini kita boleh jual murah tapi disebabkan kita pun beli dengan harga yang mahal, maka kita terpaksa naikkan harga,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Seorang lagi peniaga telur ayam, Rohani Che Wil, 56, berkata, dia juga menerima keluhan daripada pelanggan tetapnya yang rata-rata adalah peniaga makanan di sekitar Kota Bharu.

“Mereka mengadu kepada saya, disebabkan telur naik harga, mereka terpaksa naikkan juga harga makanan yang mereka jual. Saya pun buntu, paling murah saya pernah beli adalah RM12 sepapan dengan pemborong, itu pun berhari-hari saya fikir macam mana nak jual dengan harga yang mahal seperti itu kepada pelanggan tetap,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Aminah Munirah Hishamuddin, 31, memberitahu, dia mula menyedari kenaikan harga telur berkenaan sejak awal November, namun menganggap ia sebagai satu perkara biasa.

“Saya menyedari kenaikan ini awal November lalu namun saya ingatkan ia situasi biasa memandangkan Kelantan akan berdepan musim tengkujuh, mungkin makanan asas seperti itu akan naik harga daripada biasa.

“Namun minggu lepas keluarga saya pun berbincang perkara yang sama, bukan hanya di Kelantan, kawasan lain pun ada juga yang jual mahal. Mungkin sebab permintaan tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Siti Adha Farahani Mohd Nawi, 34, dia mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kita ada agensi yang bertanggungjawab untuk memantau isu ini. Kami harap peniaga dapat bertimbang rasa dengan pembeli, jangan hanya fikir untung yang akhirnya akan memberi kerugian yang berpanjangan. Apa pun kerajaan perlu turun padang untuk atasi isu ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kenaikan harga telur gusarkan peniaga

ARTIKEL BERKAITAN:Permintaan telur ayam tidak terjejas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!