Produktiviti buruh turun 5.6 peratus pada suku ketiga 2021

Sektor pembinaan mencatatkan kejatuhan terbesar produktiviti buruh iaitu 18.8 peratus berbanding suku sebelumnya. - Foto Bernama
Sektor pembinaan mencatatkan kejatuhan terbesar produktiviti buruh iaitu 18.8 peratus berbanding suku sebelumnya. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Produktiviti buruh Malaysia yang diukur dari segi nilai ditambah per pekerja turun 5.6 peratus pada suku tahun ketiga 2021 (ST3 2021) dengan nilai produktiviti sebanyak RM21,985 per pekerja berbanding RM22,128 per pekerja pada suku sebelumnya (ST2 2021).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tahun berkenaan, pekerjaan meningkat sederhana dengan merekodkan seramai 15.3 juta orang pekerja berbanding 15.2 juta orang pada ST2 2021.

“Pada ST3 2021, ekonomi Malaysia menguncup 4.5 peratus berikutan kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi,” katanya dalam kenyataan susulan pengeluaran laporan Produktiviti Buruh, Suku Tahun Ketiga 2021 di sini pada Khamis.

Mohd Uzir berkata, jumlah jam bekerja pada ST3 2021 turun sebanyak 3.9 peratus dengan merekodkan 8.2 bilion jam berbanding 8.5 bilion jam pada ST3 2020.

“Pada suku tahun ini, jumlah jam bekerja adalah lebih rendah berbanding tahun lepas berikutan langkah kawalan yang lebih ketat dilaksanakan termasuk waktu operasi perniagaan yang terhad terutamanya dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Produktiviti buruh per jam bekerja pada ST3 2021 mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 0.6 peratus dengan nilai RM40.9 per jam berbanding RM40.5 per jam pada ST2 2021.

"Dari sudut sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan prestasi negatif produktiviti buruh berdasarkan nilai ditambah per pekerja pada suku ini.

“Sektor pembinaan mencatatkan kejatuhan terbesar produktiviti buruh iaitu 18.8 peratus berbanding suku sebelumnya, manakala sektor perkhidmatan merekodkan penurunan 6.2 peratus daripada suku sebelumnya dengan penurunan terbesar dicatatkan oleh makanan dan minuman serta penginapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, Mohd Uzir berkata, dua sektor merekodkan peningkatan pada suku ini iaitu sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan manakala lain-lain sektor mencatatkan penurunan pada kadar yang lebih kecil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!