Petugas JBPM terima dos penggalak
KOTA BHARU - Pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit dalam tugasan pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh akan diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ini kerana mereka antara golongan berisiko yang terdedah dengan penularan Covid-19 ketika menjalankan tugas.
"Bertugas dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 memang mencabar termasuk ketika menguruskan mangsa banjir dan kita sentiasa mengambil berat mengenai aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas.
"Malah kesihatan anggota sentiasa dipantau agar berada dalam keadaan baik serta tidak mempunyai sebarang gejala sebab itu apabila mereka mengambil dos penggalak ini sekurang-kurangnya tahap kesihatan mereka terjamin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata, bagi pegawai dan anggotanya di Sarawak pula, sebanyak 84 peratus telah menerima suntikan dos penggalak.
Selain itu, mengenai pemberian vaksin Covid-19 pula, beliau berkata setakat ini 98 peratus anggota dan pegawai seluruh negara telah lengkap dua dos dan hanya dua peratus sahaja tidak menerima suntikan itu kerana masalah kesihatan seperti penyakit berisiko.
"Bagi anggota dan pegawai yang tidak menerima vaksin ini, mereka bukan antivaksin tetapi disebabkan nasihat daripada pakar perubatan, menyebabkan mereka tidak boleh disuntik vaksin Covid-19.
"Setakat ini kita amat berpuas hati dengan penglibatan pegawai dan anggota yang menyahut seruan kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!