KL City layak ke separuh akhir Piala Malaysia
KUALA LUMPUR City FC berjaya menamatkan penantian 29 tahun layak ke separuh akhir Piala Malaysia apabila membenam Selangor FC 1-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Kemenangan agregat 3-0 itu menyaksikan KL City bakal bertemu Melaka United bagi menentukan tempat di Final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung 30 November ini.
Turun dengan kelebihan dua jaringan di tempat lawan, KL dilihat ‘lambat panas’ dengan menyaksikan Selangor berjaya mengawal permainan pada awal perlawanan.
The Red Giants hampir membuka tirai jaringan pada minit kedua permainan namun rembatan penyerang importnya Hein Htet Aung sekadar terkena tiang gol.
Beberapa asakan terus dilakukan kedua-dua pasukan untuk mendapatkan gol namun tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan pada babak pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua, KL City berjaya memecah kebuntuan apabila penyerang sensasinya, Romel Morales berjaya menyumbat masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-51.
Gol tunggal tersebut sekali gus menyaksikan Morales berjaya mengumpul 10 gol peribadinya dalam kempen musim ini.
Dengan kemenangan tersebut, pasukan bimbingan Bojan Hodak berjaya mencatatkan rekod 20 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!