Media jadi jambatan antara Perkeso dengan masyarakat
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyifatkan media di negara ini sebagai jambatan yang menghubungkan pihak agensi itu dengan masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang fungsi dan faedah yang disediakan kepada pencarum.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammad Azman Aziz Mohammed berkata, dari sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang mula bertapak pada tahun 1971, Perkeso telah berevolusi menjadi sebuah organisasi yang berdiri teguh dalam memelihara keselamatan sosial rakyat terutama pekerja dan keluarganya.
Tambah beliau, pencapaian Perkeso juga bukan hanya bergantung kepada usaha pihak anggotanya selama tempoh 50 tahun, tetapi turut mendapat kerjasama daripada semua pemegang taruh, malah tentunya pihak media yang membantu selama ini.
“Justeru, tanpa media yang menjadi jambatan antara Perkeso dan masyarakat dalam berkongsi maklumat dan berita, mungkin ramai yang masih tidak faham tentang fungsi dan juga faedah-faedah yang disediakan untuk para pencarum,” katanya pada Majlis Anugerah Media Perkeso 2021, di sini pada Khamis.
Majlis yang dianjurkan buat pertama kalinya itu turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.
Mengulas lanjut, Mohammad Azman berkata, sebagai pengiktirafan kepada sokongan pihak media massa dalam melaporkan isu-isu berkaitan Perkeso, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan untuk AMP2021.
Beliau berkata, sambutan untuk majlis itu sangat menggalakkan yang mana pihaknya menerima sebanyak 250 penyertaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih pihak MPI atas kerjasama yang diberikan, khususnya dalam pengurusan penghakiman bagi Anugerah Media ini.
“Ini termasuklah membuat hebahan pertandingan AMP2021 kepada pihak media massa, menyenaraikan bahan penyertaan, melaksanakan saringan, malah membantu dalam pelantikan hakim dan pengadilan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Azman berharap hubungan baik yang terjalin antara Perkeso dengan pihak media akan berkekalan dalam menuju ke arah pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!