Penyokong masuk padang lagi....
KEJAYAAN KL City FC mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor FC secara agregat 3-1 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia dicemari insiden para penyokong memasuki padang.
Kejadian berlaku sebaik sahaja berakhirnya perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras yang berkesudahan kemenangan 1-0 The City Boys kendalian Bojan Hodak.
KL City sebelum ini dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menang 2-0 ke atas anak buah Karsten Neitzel tersebut.
Insiden para penyokong memasuki padang ini adalah yang kedua selepas kejadian sama berlaku ketika perlawanan antara Selangor FC menentang Terengganu FC pada 7 November lalu yang berkesudahan kemenangan 3-1 pelawat.
Pada perlawanan itu penyokong memasuki padang turut memeluk pemain skuad Penyu ketika meraikan jaringan Jordan Mintah dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dua insiden melanggar yang prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan tuan rumah mengawal para penonton.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menegaskan pengendali saingan Liga Malaysia (Liga-M) itu tidak akan berkompromi dengan sebarang perlanggaran peraturan berkaitan pematuhan SOP ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!