Mualaf warga Thailand, 4 anak mahu kekal tinggal di Kelantan
KOTA BHARU - Seorang mualaf warganegara Thailand dan empat anaknya yang tidak mempunyai kad pengenalan (MyKad) bertekad untuk terus menetap di negara ini demi menjaga akidah dan agama Islam yang dianuti mereka sekeluarga kini.
Mualaf berkenaan, Siti Nur Haslin Abdullah, 48, berkata, dia berdepan kesempitan kewangan dan buntu untuk meneruskan kehidupan di negeri ini selepas kematian suaminya juga warganegara Malaysia, Norazuan Mohd Noor, 60.
Norazuan yang berasal dari Bunut Payong di sini meninggal dunia akibat komplikasi jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang pada Julai lalu.
Hasil perkahwinannya dengan Norazuan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Hasniza Norazuan, 18, Ahmad Asrul, 16, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Ahmad Nazrin, 13, (SMK Tanjung Chat) dan Siti Nor Ayuni, 10, (Sekolah Kebangsaan Tengku Indra Petra).
Kata Siti Nur Haslin, mereka berlima tidak mempunyai MyKad, namun dia berhasrat untuk terus tinggal di Kelantan kerana bimbang akidahnya terpesong dan agama Islam yang dianutinya kini terjejas sekiranya pulang ke kampung halaman di Nakhon Phanom berdekatan sempadan negara Thailand-Laos.
“Saya anak ketujuh daripada 11 beradik, ibu kami sudah meninggal dunia manakala ayah berusia 80 tahun.
“Keluarga di Thailand mengajak saya sekeluarga pulang menetap di kampung namun saya bimbang dengan kehidupan di sana yang berlainan agama serta mahu terus tinggal di Kelantan,” katanya ketika ditemui pada Program Asnaf Shopping Care anjuran Pertubuhan Cakna Ummah Kelantan (UCO) di sebuah pasar raya di Lundang di sini pada Khamis.
Siti Nur Haslin berkata, dia dan suami telah mendaftar perkahwinan mereka di negara ini pada April lalu dan membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan terhadap anak ketiga dan keempat yang dilahirkan di Kelantan.
“Namun anak pertama dan kedua berdepan masalah lebih rumit kerana mereka dilahirkan di Thailand dan menggunakan visa pelajar manakala saya mempunyai pasport yang sentiasa diperbaharui.
“Saya amat berharap ada pihak dapat membantu kami kerana saya juga tidak berkemampuan kerana hanya mempunyai pendapatan tidak tetap kurang RM30 sehari hasil menjual mi celup berhampiran rumah yang disewa sebanyak RM250 sebulan di Kedai Buloh di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi UCO, Muhammad Khairul Anan Zulkifle berkata, pihaknya menyenaraikan keluarga Siti Nur Haslin bersama dengan 2,000 lagi asnaf yang diberikan bantuan barangan keperluan asas setiap bulan.
“Kami juga akan melihat keperluan Siti Hasniza yang mahu menceburi bidang perniagaan dan membantunya dalam program perintis keusahawanan.
”Pihak kami juga akan sentiasa memberi sokongan kepada Siti Nur Haslin untuk mengelak terjadi isu lebih besar berkait agama sekiranya mereka balik ke Thailand,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!