Amalan ‘kabel besar’ boleh runtuhkan kerajaan
MELAKA - Pakatan Harapan (PH) menolak sekeras-kerasnya pemimpin terlibat dengan amalan rasuah kerana perbuatan keji itu boleh memusnahkan negara.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Datuk Gue Teck berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak dahulu lagi menentang amalan rasuah dan pemimpin yang terlibat dengan kegiatan korupsi.
Beliau yang merupakan anak kelahiran Melaka berkata, amalan rasuah di peringkat kerajaan sewajibnya dibendung kerana boleh menyebabkan berlakunya isu ketirisan di peringkat pelaksanaan sesuatu projek rakyat.
Ketua Cabang Keadilan Tangga Batu itu berkata, kebanyakan pelaksanaan projek-projek besar berlakunya elemen rasuah, sekali gus menyebabkan berlaku pertelingkahan dalam kalangan pemimpin bagi merebut tender kerajaan.
“Akibat mengamalkan rasuah, kita lihat persengketaan dalam kalangan pemimpin yang berebut harta dan menyebabkan kestabilan politik negara menjadi goyah.
“Malah sebab itu juga sesebuah kerajaan boleh tumbang dan jatuh akibat amalan buruk rasuah serta perbuatan gila kuasa.
“Ini suatu perkara yang sangat serius dan perlu dipandang berat oleh seluruh masyarakat. Maka buatlah pilihan tepat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini,” katanya kepada Rasuah Busters.
Mengulas lanjut, Gue Teck berkata, rasuah merupakan ‘maksiat’ yang menyebabkan negara tidak boleh ‘pergi jauh’ dan melambatkan proses pembangunan serta kemajuan seperti apa yang dirancang.
Menurutnya, perbuatan rasuah di peringkat atasan akhirnya menular ke bawah, menyebabkan banyak salah laku di peringkat pelaksanaan.
Sebagai contoh katanya, ada peniaga di Kelebang yang mengadu tidak berjaya mendapat lesen perniagaan akibat tiada ‘kabel besar’.
“Ini satu perkara yang tidak sihat. Tidak bolehlah jika hanya mereka yang mempunyai kabel besar dan kuat, baru boleh dapat sesuatu daripada orang dalam.
“Sikap mengamalkan rasuah boleh menyebabkan sesebuah kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri mengalami era kejatuhan yang dahsyat,” katanya.
Sementara itu, kata Gue Teck, bagi menstabilkan politik negara, usaha melaksanakan enakman lompat parti harus disegerakan.
“Kejatuhan kerajaan negeri Melaka baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran dan perbuatan melompat parti dibanteras.
“Sebab itu rakyat perlu tolak golongan pemimpin rasuah agar kerajaan baharu negeri Melaka akan menjadi lebih stabil dan tidak bergolak akibat perebutan kuasa,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!