Ketua Menteri wanita pertama 'senjata' terakhir PN

Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Datuk Mas Ermieyati Samsudin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) pada Khamis mengambil langkah berani dengan mengumumkan Naib Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika parti itu memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Pengumuman yang dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu disifatkan senjata terakhir bagi menawan hati pengundi, bahkan mencipta sejarah Melaka dan negara apabila julung kalinya menyaksikan ahli Parlimen Masjid tanah itu bakal menjadi wanita pertama dilantik jawatan tersebut.

Sebelum ini, selain Mas Ermieyati, Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Untuk rekod, jawatan Ketua Menteri Melaka sebelum ini telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Kemudian, diikuti pula dengan Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly Zahari dan terakhir Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkemungkinan akan berdepan dengan tugasan yang sangat berat apabila beliau bakal bersaing dengan dua calon ‘heavy weight’ yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Adly (Pakatan Harapan) dan Sulaiman (Barisan Nasional).

Kedua-dua figura itu turut bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dan Lendu.

Selain itu, beliau yang bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara juga akan ditentang calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon PH, Zainal Hassan dalam PRN Melaka yang berbaki satu hari lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Ermieyati calon Ketua Menteri Melaka PN

Pada Selasa, sebanyak 89.9 peratus atau 10,390 orang telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada PRN Melaka yang terdiri anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut mengenai pencalonan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri Melaka, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini pernah menyifatkan Naib Ketua Srikandi Bersatu itu sebagai 'pengubah keadaan' di Melaka.

Bahkan Hamzah berkata, kemampuan Mas Ermieyati untuk menjadi pemimpin agak terserlah, malah diyakini dapat memberikan kemenangan kepada PN.

Apa-apa pun jika salah seorang daripada tiga calon parti utama itu dipilih menjadi Ketua Menteri Melaka, diharap beliau dapat membela dan menjaga kebajikan penduduk di negeri itu, bukan sekadar berkempen untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!