Ridzwan fokus bantu peniaga kecil, nelayan

Mohamad Ridzwan (kanan) mendengar masalah yang diluahkan oleh penduduk.
Mohamad Ridzwan (kanan) mendengar masalah yang diluahkan oleh penduduk.
A
A
A

Nama calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridzwan Mustafa mungkin asing bagi rakyat di DUN Pantai Kundor berbanding dua lagi lawannya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Tuminah Kadi serta penyandang kerusi tersebut iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Nor Azman Hassan.

Namun, dengan kempen yang berterusan selain berjaya menyelami denyut nadi penduduk di Pantai Kundor, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semakin mendapat tempat di hati penduduk.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Muhammad Zakwan Nazaraly bersama Mohamad Ridzwan yang berkongsi misinya untuk membantu peniaga kecil, nelayan dan menaik taraf infrastruktur sekiranya diberikan mandat oleh pengundi di Pantai Kundor.

SINAR HARIAN: Apakah strategi saudara untuk mendekati pengundi di DUN Pantai Kundor pada hari terakhir sebelum pilihan raya?

MOHAMAD RIDZWAN: Untuk hari terakhir ini, saya menambah lagi penggerak untuk pastikan semua risalah dapat diedarkan di setiap rumah. Kami juga aktifkan pasukan untuk pastikan kain rentang dalam keadaan yang baik sebab ada yang rosak dan perlu dibaiki. Selain itu, kami juga terus bergerak ke kedai-kedai makan, beramah mesra dengan rakyat dan peniaga di tepi Pantai Kundor ini. Saya juga mengambil peluang sebaik mungkin untuk memperkenalkan diri dan memastikan semua orang mengenali saya kerana bagi rakyat DUN Pantai Kundor, saya masih baharu dan perlu bekerja keras berbanding dua calon lain yang sudah berpengalaman dan dikenali.

Apa misi dan pembaharuan yang ingin dibawa di DUN Pantai Kundor ini jika saudara menang kerusi ini?

Seperti manifesto PN, enam tunjang iaitu keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, alam sekitar, infrastruktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran menjadi satu keutamaan dan akan dilaksanakan sekiranya saya menang di DUN Pantai Kundor. Dari segi ekonomi, rata-rata peniaga di Pantai Kundor ini masih lagi terkesan ekoran pandemik Covid-19 dan mereka sedang merasai sedikit pemulihan dari segi kunjungan pelancong. Dalam manifesto, antara inisiatifnya ialah membantu peniaga kecil untuk kembali bernafas. Selain memperbaiki infrastruktur, terdapat juga inisiatif untuk mengoptimumkan hasil nelayan. Sebagai seorang jurutera teknologi, saya boleh menyumbang dari segi kaedah teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan kepada nelayan dan peniaga di Pantai Kundor.

Artikel Berkaitan:

Peluang yang ada digunakan Mohamad Ridzwan untuk ambil tahu isu-isu setempat.
Peluang yang ada digunakan Mohamad Ridzwan untuk ambil tahu isu-isu setempat.

Apakah pendekatan saudara untuk mendekati pengundi dalam keadaan kempen norma baharu dan SOP yang ketat?

Pertamanya, kami gunakan sepenuhnya kaedah dalam media sodial sebagai sasaran utama untuk golongan muda. Kami sentiasa perbaharui segala aktiviti dan video di laman agar sampai kepada golongan belia. Kedua, kami juga guna kaedah konvensional di mana risalah diedarkan di setiap rumah untuk memastikan semua informasi sampai ke setiap penduduk terutamanya golongan warga emas dan mereka yang tidak aktif di laman sosial.

Difahamkan majoriti pengundi di DUN Pantai Kundor adalah golongan belia, apakah cara untuk menarik mereka mengundi saudara?

Majoriti paling tinggi berumur 31 tahun ke 40 tahun. Ia agak ketara apabila saya melawat gerai di pasar malam. Saya dapati hampir 80 peratus adalah golongan belia. Sebagai belia saya juga aktif dalam dan sebelum pilihan raya saya sering berbasikal ke Pantai Kundor memberi bantuan kepada penduduk di sini. Aktiviti berbasikal dan aktiviti lain seperti futsal dan sebagainya mampu menarik ramai belia di sekitar Pantai Kundor. Dari sinilah saya mendekati golongan ini.

Berdepan pertembungan tiga penjuru, bagaimana saudara melihat persaingan ini?

Dua calon lawan adalah sangat berpengalaman dan salah seorangnya penyandang yang memang telah dikenali di sini. Saya tidak ambil mudah untuk berkempen malah mempunyai strategi tersendiri selain PN juga merupakan parti yang sudah sinonim dengan Bantuan Prihatin Rakyat. Saya mengguna pakai fakta dan manifesto yang PN telah keluarkan sebagai bukti inilah perancangan yang komprehensif untuk dimanfaatkan oleh rakyat sekiranya kami terpilih. Hasil kaji selidik yang dilakukan, penduduk di sini rata-ratanya menyokong PN terutamanya inisiatif yang PN lakukan ketika negara dilanda Covid-19.

Apakah mesej kepada pengundi di DUN Pantai Kundor menjelang hari pengundian?

Saya harap semua pengundi tidak takut untuk keluar mengundi ekoran pengalaman atau situasi Covid-19 yang menular ketika di PRN Sabah sebelum ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menambah baik kaedah mengundi dan menambah saluran dan prosedur operasi standard (SOP) untuk meminimumkan risiko jangkitan. Jadi, saya mengajak semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab. Saya juga berharap rakyat bijak memilih calon PN termasuk di kerusi lain kerana PN menawarkan calon muka baharu dan profesional. Ini amat diperlukan dalam pelan pemulihan untuk merangka negeri Melaka ke arah yang lebih baik. Di DUN Pantai Kundor sendiri saya akan cuba lakukan yang terbaik membela nasib rakyat dan membawa suara mereka sekiranya diberikan mandat.

PROFIL:

Mohamad Ridzwan Mustafa
Mohamad Ridzwan Mustafa

Nama: Mohamad Ridzwan Mustafa

Umur: 41 tahun

Kerjaya: Jurutera mekanikal

Pendidikan:

- Sijil Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan

- Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) Politeknik Kota Bharu, Kelantan

- Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal Automatif Universiti Teknologi Malaysia

- Ijazah Sarjana Kejuruteraan Pembuatan Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM).

Jawatan Politik:

- Penolong Setiausaha Perikatan Nasional Melaka

- Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu Melaka

- Ketua Cawangan Bersatu Hujung Padang Melaka

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi https://pru.sinarharian.com.my/

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!