BN tawar formula politik paling ideal untuk Melaka
JOHOR BAHRU - Melaka memerlukan satu kerajaan yang dominan sebagai pemangkin kestabilan politik untuk meneruskan kesinambungan kemajuannya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Barisan Nasional (BN) menawarkan formula politik paling ideal untuk Melaka menerusi muafakat kongsi kuasa yang sudah dipraktikkan berdekad lamanya.
"Kestabilan kerajaan adalah katalis kemakmuran Melaka. Selama lebih enam dekad, BN satu-satunya parti yang boleh dan telah mengurus Melaka dengan jayanya, menjadikannya antara negeri paling membangun di Malaysia.
"Benar BN tidak sempurna dan tidak akan mungkin menjadi sempurna tetapi dalam segala kebaikan dan kelemahan BN, ia adalah formula politik paling ideal untuk Malaysia dan Melaka.
"Melalui BN, kuasa dikongsi secara bersama-sama selama puluhan tahun dan kepentingan kaum diuruskan secara muafakat. Tiada masalah yang BN tidak selesaikan secara kolektif dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi memastikan tawaran kestabilan itu boleh dicapai, BN menampilkan kira-kira 87 peratus calon baharu sebagai taruhan untuk kerajaan yang berwajah dinamik, segar dan progresif.
Menurutnya, mereka adalah generasi penerus yang berwibawa, bersih, berilmu dan berpendirian, bukan golongan yang memperdagangkan politik dan kedudukan untuk kuasa.
"Mereka adalah jawapan BN untuk membasmi pengkhianatan, politik lompat melompat yang tidak bermoral dan sindrom kegilaan kuasa yang memualkan," ujar bekas Menteri Besar Johor itu.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!