Ahli Parlimen Lipis sokong pembangunan Malaysia Defence City

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

LIPIS - Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyokong penuh mengenai kemungkinan pembangunan Malaysia Defence City di kawasan Parlimen berkenaan.

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I berkata, beliau mengalu-alukan dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) di Indonesia baru-baru ini.

"Saya juga menyokong penuh ulasan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Ucapan Penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai pembangunan Malaysian Defence City di Lipis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, ia berikutan lokasi yang strategik yang tidak terlalu jauh dengan pusat bandar Kuala Lumpur yang dihubungkan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Gua Musang.

"Selain itu ia dapat merangsang ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara dengan mengurangkan kebergantungan dan aliran keluar wang ke luar negara serta penjimatan ke atas pertukaran mata wang asing.

"Ia juga merendahkan nilai defisit negara dengan mengurangkan kadar perbelanjaan berikutan kos membangunkan aset pertahanan adalah sangat tinggi," jelasnya.

Tambahnya, selain itu juga dapat meningkatkan keupayaan syarikat tempatan berdikari dalam bidang khusus termasuk menyediakan aset dan kelengkapan ketenteraan serta pertahanan.

Dalam pada itu, beliau melihat pembangunan Malaysia Defence City itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar kepada masyarakat luar bandar bagi menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia juga dapat menerapkan teknologi Revolusi Industri 4.0 seperti Artificial Intelligence (AI) dalam produk dan sistem pengeluaran bagi memaksimumkan proses automasi, ketepatan pembuatan dan penjimatan kos selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Semoga Penggubalan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) dapat dimuktamadkan dan berjalan lancar seterusnya

membawa limpahan manfaat yang besar kepada negara secara amnya dan kepada masyarakat Lipis khususnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!