31 buah motosikal roda tiga disita

Abd Hamid (kanan) menyoal siasat seorang lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal roda tiga dalam operasi di sekitar Ampang Jaya pada Jumaat.
Abd Hamid (kanan) menyoal siasat seorang lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal roda tiga dalam operasi di sekitar Ampang Jaya pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Sebanyak 31 buah motosikal roda tiga ditunggang oleh warga Myanmar yang tidak memiliki lesen telah disita di dalam satu Operasi Motosikal Roda Tiga sejak 1 November lalu hingga Jumaat.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ampang Jaya, Deputi Superintendan Abd Hamid Omar berkata, pihaknya mengesan warga Myanmar menunggang motosikal roda tiga itu untuk membawa barangan lusuh.

"Operasi dijalankan di sekitar Pandan Mewah dan Taman Tasik Tambahan berdasarkan aduan serta maklumat daripada orang awam yang mendakwa warga asing menunggang motosikal roda tiga ini telah melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya.

"Warga asing yang menggunakan motosikal roda tiga ini kebiasaannya aktif beroperasi pada waktu pagi, sebelum menjual barangan lusuh di kedai kitar semula," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Ampang Jaya pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan 618 saman berkaitan kesalahan tiada lesen memandu sepanjang tempoh dua minggu operasi itu dilaksanakan.

"Majoriti saman yang dikeluarkan itu adalah terhadap warga asing yang tiada lesen memandu termasuk warga Myanmar yang menunggang motosikal roda tiga," ujarnya.

Abd Hamid berkata, motosikal itu disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sekiranya, pemilik asal motosikal mahu menuntut semula motosikal yang disita mereka perlu datang ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya dengan membawa dokumen berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan terbabit kerana membenarkan motosikal itu digunakan oleh individu lain yang tiada lesen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!