Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Melaka meningkat
MELAKA - Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt negeri Melaka mencatatkan peningkatan kepada 0.97 pada 12 November lalu sekali gus mengundang kebimbangan dengan peningkatan kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri ini.
Berdasarkan analisis semasa jangkitan Covid-19 sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-45, sebanyak 67,808 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan dengan 2,724 kes aktif dan 915 kes kumulatif kematian dengan 119 kes melibatkan kematian di luar hospital (BID).
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bimbang dengan peningkatan kadar itu memandangkan rakyat negeri ini akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Menurutnya, situasi Covid-19 di Melaka masih belum stabil dan kadar insiden purata kes tujuh hari juga masih tinggi iaitu 19.9 per 100,000 penduduk pada ME ke-45.
Beliau berkata, kadar jangkitan bagi tempoh 14 hari dari 4 November hingga 18 November pula adalah 290 per 100,000 penduduk dan menduduki tangga kelima tertinggi dalam negara.
"Sehingga Sabtu lalu sebanyak 181 kluster kumulatif direkodkan dengan 14 daripadanya masih aktif.
"JKN mengingatkan masyarakat terutama ahli politik, petugas PRN, pengundi dan semua pihak agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, bagi individu yang bergejala, mereka akan diasingkan untuk mengundi di khemah khas dan diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan sarung tangan pakai buang.
"Individu berstatus dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pematuhan (PUS) perlu mendapatkan kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Pemerintahan Pengawasan dan Pemerhatian tersebut sebelum keluar mengundi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!