Dendam lama dua geng kongsi gelap punca ah long ditetak
SEPANG - Polis mengesahkan kejadian pembunuhan seorang ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang pada 6 November lalu melibatkan perselisihan faham antara kongsi gelap Geng 24.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seramai 16 suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut sudah ditahan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Beliau turut memaklumkan polis kini dalam proses menyiapkan siasatan sebelum dihantar kepada timbalan pendakwa raya.
"Kita percaya suspek merupakan anggota Geng 24 dan mangsa juga dipercayai ahli kongsi gelap," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Jumaat.
Menurutnya, susulan penahanan enam lelaki di sekitar Klang dan Banting membawa kepada penahanan tiga lagi suspek pada 10 November kira-kira jam 10.30 malam.
"Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran di Bandar Baru Seri Petaling dan kini direman selama 13 hari membabitkan dua fasa masing-masing tujuh hari dan bersambung enam hari bermula 11 hingga 23 November.
"Pada 11 November pihak polis turut berjaya menahan empat lagi suspek terdiri daripada lelaki tempatan di sekitar Muar dan Segamat, Johor dan direman selama 13 hari bermula 11 hingga 23 November," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Arjunaidi memberitahu, hasil soal siasat polis menemui lokasi pembakaran pakaian dan senjata yang digunakan dalam kejadian di Taman Sentosa Klang itu.
"Suspek turut menunjukkan tempat membuang senjata yang digunakan dari Jambatan Kota ke dalam Sungai Klang," katanya.
Tambahnya, polis juga mengenal pasti lokasi rumah inap yang disewa suspek sebelum dan selepas kejadian di Bandar Botanik Klang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis merampas beberapa barang termasuk kereta Honda Accord, kereta Proton X70, sehelai seluar pendek berwarna kelabu dan baju T dan wang tunai berjumlah RM19,198 dipercayai sebagai upah menetak mangsa.
"Dalam tangkapan di Johor polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry dan Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki dipercayai ah long maut ditetak
ARTIKEL BERKAITAN:Tetak ah long: Polis tidak tolak pembabitan kongsi gelap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!