Banjir 'sebok' landa beberapa kampung di Rantau Panjang
RANTAU PANJANG - Lebih 50 keluarga dari beberapa buah kampung di sini berdepan dengan masalah banjir 'sebok' sehingga menyebabkan kawasan kediaman mereka ditenggelami air sedalam 0.5 meter hingga 1 meter sejak Khamis.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada limpahan air dari projek tebatan banjir yang sedang dijalankan di kawasan Kampung Lachang, di sini sehingga menyebabkan Kampung Lanchang; Bongor, Tersang dan Gual Tok Deh ditenggelami air yang bertakung.
Perkara itu diakui sendiri oleh penduduk Kampung Gual Tok Deh, Bakri Jusoh, 44, yang mendakwa projek tersebut telah memberikan kesan kepada mereka.
"Kebiasaan pada waktu ini (sama dengan tahun lalu) banjir belum lagi melanda kawasan rumah. Apa yang berlaku hari ini disebabkan oleh aliran air daripada projek tebatan berkenaan yang membanjiri kawasan kampung.
"Malah kejadian limpahan air dari Sungai Golok juga masih belum berlaku di sini ditambah pula dengan keadaan cuaca yang baik dan tidak hujan di sekitar Rantau Panjang seperti kebiasaannya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Menurutnya, air naik dengan terlalu cepat menyebabkan penduduk terkejut dengan keadaan itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Awang Senik, 55, berkata, air mula masuk ke bahagian dapur rumahnya pada jam 3 pagi.
Katanya, paras air makin naik selepas dia bangun untuk menunaikan solat subuh dan mendapati kawasan luar rumah di Kampung Tersang sudah ditenggelami banjir.
"Kami reda dengan apa yang berlaku, cuma kami minta pihak berkenaan memperbanyakkan lagi pintu-pintu air supaya alirannya menjadi lebih lancar.
"Bila lancar, air akan surut dengan lebih cepat dan itu amat menggembirakan penduduk di sini," katanya.
Bagi Mariam Mamat, 77, dia sudah lali berdepan dengan masalah banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh.
Bagaimanapun katanya, paras air yang masuk ke dalam kawasan rumahnya sejak kebelakangan ini dilihat lebih tinggi.
"Air Sungai Golok baharu semalam melimpah masuk ke kawasan rumah, namun air dari Sungai Tersang sudah bertakung 'sebok' sejak beberapa hari lalu.
"Ia dipercayai berpunca dari projek tebatan banjir, sebab semua laluan air telah ditutup. Bila saluran ditutup maka air tak boleh mengalir lancar," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati laluan masuk utama ke Kampung Lanchang hanya boleh dilalui menggunakan bot.
Bukan itu sahaja rumah penduduk di Kampung Tersang turut ditenggelami air yang bertakung.
Pada masa yang sama seramai 31 penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas dari Kampung Tok Deh terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!