Nelayan perlu mahir baiki enjin bot
KUANTAN - Program peningkatan kemahiran penyelenggaraan enjin diharap dapat memberi pendedahan mengenai pembaikan bot kepada nelayan di negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, kemahiran membaiki enjin dan menyelenggara bot secara berkala dapat mengelak risiko kerosakan di tengah laut.
Menurut beliau, nelayan perlu mengambil langkah keselamatan ketika di laut terutama pada musim tengkujuh dengan keadaan laut bergelora dan angin kencang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Abdullah sebelum itu merasmikan program peningkatan kemahiran pemprosesan produk perikanan dan penyelenggaraan enjin bot daerah Kuantan di Pantai Sepat di sini.
Sementara itu, bercakap mengenai program peningkatan kemahiran pemprosesan produk perikanan, Abdullah berkata, pihaknya memainkan peranan penting mengembangkan teknologi penghasilan produk berasaskan perikanan dan meningkatkan kemahiran teknikal kepada kumpulan sasar dan orang ramai.
Tambah beliau, melalui program itu peserta dapat mempelajari secara teori dan praktikal berkaitan pemprosesan produk perikanan laut seperti keropok lekor dan satar.
"Program ini dapat memberi peluang kepada peserta untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan produk perikanan bagi menjana pendapatan tambahan.
"Ini akan memberi peluang kepada nelayan dan suri rumah supaya tidak bergantung kepada hasil tangkapan terutama pada musim tengkujuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!