Jangan menilai pada gender, kata Mas Ermieyati

Mas Ermieyati - Foto Bernama
Mas Ermieyati - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Calon Ketua Menteri Melaka Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mahu masyarakat bersikap terbuka dengan tidak menilai kemampuan seseorang pemimpin menerusi jantina.

Beliau berkata, pemikiran rakyat juga tidak sepatutnya berada di takuk yang sama.

"Tindakan PN (menamakan calon Ketua Menteri Melaka wanita) sama seperti apa yang berlaku di luar negara.

"Kita tidak boleh berada di takuk yang sama tapi dalam normal baharu, kehidupan kita juga normal baharu.

"Jadi kita jangan lihat pada gender, tapi lihat kepada kerja, visi dan misinya. Itu lebih utama," katanya pada sidang media di Pengkalan Balak, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai wujud bantahan daripada rakyat Melaka yang didakwa menolak calon Ketua Menteri wanita disuarakan melalui kain-kain rentang sekitar negeri ini.

Mas Ermieyati dalam reaksi balasnya juga berkata, itu adalah hak rakyat untuk bersuara.

"Mereka boleh lahirkan apa jua pandangan mereka. Apa pun saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang menamakan saya sebagai calon," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mas Ermieyati yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara diumumkan sebagai calon Ketua Menteri negeri itu sekiranya PN memperoleh mandat pada Sabtu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan ia menjadi bukti bahawa PN sentiasa memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pemimpin yang layak tanpa mengira jantina.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!