Perlis sasar 200,000 pelancong bulan depan
KANGAR - Kerajaan negeri Perlis menyasarkan kedatangan 200,000 pelancong menjelang penghujung tahun ini selaras dengan pelancaran Smart Map Tourism Perlis pada 26 Oktober lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran berkenaan setelah melihat sambutan memberangsangkan yang diterima sejak pelancaran pelan digital berkenaan.
Beliau berkata, pelan digital pelancongan yang dihasil berpandukan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis itu bertujuan untuk memudahkan pelancong merancang perjalanan ke lokasi- lokasi menarik di Perlis.
"Pelan ini disediakan berlandaskan kepada lima kategori produk pelancongan utama di Perlis iaitu Eko Pelancongan, Pelancongan Membeli Belah/Makanan, Pelancongan Agro, Pelancongan Sejarah, Warisan dan Budaya, serta Pelancongan Sukan dan Rekreasi," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bagi memudahkan pelancong, pelan ini diletakkan di kawasan tumpuan awam seperti terminal feri dan pintu-pintu masuk ke Perlis.
"Selain itu, ia turut dikongsikan melalui platform media sosial bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan informasi-informasi yang disediakan.
"Terdapat lebih 30 lokasi menarik disenaraikan dalam pelan ini yang mana turut dilengkapi dengan informasi berkaitan. Ia juga boleh diakses dengan mengimbas Kod QR yang disediakan. Kod QR ini akan memaparkan video serta lokasi pelancongan melalui link yang disediakan.
"Selain itu, terdapat juga informasi berkenaan penawaran aktiviti bagi produk-produk pelancongan dan kemudahan-kemudahan lain seperti penginapan, tempat beribadat dan kemudahan kesihatan," ujarnya.
Mengulas lanjut, Azman berkata beliau positif dapat mencapai sasaran yang ditetapkan memandangkan Perlis kini menjadi antara destinasi pelancongan pilihan.
"Jumlah keseluruhan pengunjung dari Oktober hingga 14 November lalu adalah seramai 80,892 orang dan ini satu perkembangan yang memberangsangkan.
"Antara lokasi yang mendapat kedatangan pelancong paling ramai adalah di View Point Wang Kelian dengan 29,209 pengunjung bagi tempoh Oktober hingga pertengahan November lalu.
" Data ini diperolehi berdasarkan imbasan kod MySejahtera pengunjung dan tarikan utama di sini adalah pemandangan awan karpet yang mempersonakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, lain- lain lokasi yang turut menjadi tumpuan adalah Tasik Timah Tasoh, Sungai Batu Pahat dan Gua Kelam.
"Sebenarnya ia bergantung kepada pelancong, tempat bagaimana yang mereka ingin berkunjung, kalau mereka sukakan bukit bukau, mereka boleh pergi ke kawasan Sungai Batu Pahat, kalau hendak menikmati pemandangan laut boleh ke kawasan Sungai Baru hingga ke Kuala Sanglang.
"Banyak lagi tempat-tempat menarik lain dan pelancong boleh merancang perjalanan mereka dengan bantuan pelan digital ini dengan lebih awal sebelum tiba di Perlis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!