Gaji pekerja di Malaysia dijangka naik tahun 2022 : ECA
KUALA LUMPUR - Golongan pekerja di Malaysia diunjur akan menerima kenaikan gaji sebenar sebanyak 2.8 peratus pada 2022, meningkat daripada pertumbuhan 1.5 peratus tahun ini, menurut Laporan Trend Gaji terkini oleh penyedia data pengurusan pekerja dan perisian, ECA International.
Laporan itu berkata, negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand, antara negara dijangka menyaksikan kadar kenaikan gaji terpantas tahun depan berbanding 2021 apabila ekonomi negara berkenaan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan sempadan antarabangsa dibuka semula.
Pengarah Serantau ECA International - Asia, Lee Quane berkata, Indonesia dan Malaysia adalah antara negara yang paling terjejas akibat pandemik itu dan dijangka menyaksikan beberapa peningkatan tertinggi dalam kadar pertumbuhan gaji di Asia-Pasifik pada 2022 apabila ekonomi masing-masing kembali normal.
“Sekiranya negara-negara ini mampu mengawal inflasi pada 2022, prospek ekonomi yang bertambah baik memberi petunjuk bahawa kadar kenaikan gaji sebenar bagi pekerja di negara-negara ini akan menjadi antara yang tertinggi di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Laporan itu berkata, kenaikan gaji sebenar untuk pekerja diunjurkan pada 1.9 peratus secara purata di seluruh rantau Asia Pasifik pada 2022.
“Ia lebih tinggi daripada rantau lain dengan jangkaan kenaikan gaji sebenar global hanya 0.9 peratus secara purata.
Laporan Trend Gaji tahunan menganalisis itu kenaikan gaji semasa dan menjangkakan kenaikan gaji akan berlaku kepada lebih 70 negara dan bandar di seluruh dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!