Cheng Hoe nafi ketepi pemain muda berpotensi

Tan Cheng Hoe - Foto fail Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto fail Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menolak persepsi sesetengah pihak terutama peminat bola sepak tempatan bahawa barisan pemain muda negara yang berpotensi tidak mempunyai tempat dalam pasukannya.

Menjelang saingan Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, Cheng Hoe menyifatkan tanggapan itu tidak berasas dan ia dibuktikan dengan penyenaraian beberapa pemain muda dalam senarai 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Isnin depan.

"Kita sudah masukkan beberapa nama contoh Luqman (Luqman Hakim Shamsudin) yang memang telah bersama pasukan negara, Mukhairi (Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi), Quentin Cheng dan Azri Ghani (Muhammad Azri Ab Ghani) untuk diberi peluang.

"Nama-nama ini kita (barisan kejurulatihan) rasa mereka mempunyai masa depan yang bagus dan kita akan beri peluang kepada mereka," katanya ketika ditemui baru-baru ini sambil menambah, Azri Ghani telah menunjukkan prestasi amat baik ketika beraksi bersama skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.

Azri Ghani yang juga pemain Perak FC diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama skuad B-22 bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney yang berjaya mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022, pada pusingan kelayakan kejohanan itu di Ulaanbaatar, Mongolia, bulan lepas.

"Kita telah memantau dia (Azri Ghani) sejak dia bersama skuad Bawah 19 Tahun kendalian Bojan Hodak lagi dan saya rasa ini lah masa terbaik untuk dia diberi peluang bersama pasukan senior," jelas Cheng Hoe.

Rabu lepas, pengendali berusia 53 tahun itu mengumumkan senarai 28 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi cabaran Kejuaraan Piala AFF 2020 yang dijadual berlangsung dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun depan.

Daripada 28 pemain dipanggil, sembilan daripadanya merupakan pemain berusia 23 tahun dan ke bawah dengan Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal yang masing-masing berusia 19 dan 20 tahun adalah pemain termuda dalam pasukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, keputusan menyenaraikan penyerang Petaling Jaya City FC Darren Lok adalah bagi menambah pilihan di bahagian jentera serangan pasukannya selain teruja untuk melihat sumbangan yang mampu dimainkan pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu.

Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu menyarung jersi pasukan negara adalah pada 2017.

"Barisan kejurulatihan sentiasa mengikuti perkembangan setiap pemain dan saya rasa kita perlu bagi dia peluang kerana prestasi ditunjukkan dalam saingan Piala Malaysia dan pada musim ini bersama PJ City FC beliau beraksi begitu baik dan konsisten," kata Cheng Hoe.

Pada Kejuaraan Piala AFF 2020, Malaysia yang menyasarkan untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut akan memulakan kempen saingan Kumpulan B berdepan Kemboja pada 6 Disember diikuti Laos (9 Disember ), Vietnam (12 Disember ) dan Indonesia pada 19 Disember dalam misi muncul dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!