'Penyokong KL City FC 'serbu' padang sebab teruja'- Polis
KUALA LUMPUR - Seramai lima penyokong KL City FC telah ditahan kerana memanjat pagar dan melompat masuk ke dalam padang semasa perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Jalan Yaacob Latif di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian pada jam 11.10 malam itu, anggota polis yang bertugas telah berjaya menghalang dan menyuraikan para penyokong KL City FC terbabit.
"Kita berjaya menahan lima penyokong yang berada di kawasan padang bola sepak untuk dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bagi tindakan selanjutnya.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap lima lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu telah dibuat dan keputusannya negatif," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Muhammad Idzam berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada keterujaan penyokong KL City FC kerana pasukan itu berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
"Penyokong yang ditahan telah dibebaskan selepas pemeriksaan dan diambil keterangan.
"Kita akan menyerahkan kes itu kepada pihak Stadium, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Pada aksi tersebut, skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak mempamerkan rentak konsisten untuk melakar kemenangan 1-0 ke atas seteru tradisi, Selangor FC sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir dengan agregat 3-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!