Aaron-Wooi Yik kekalkan momentum kemenangan
BEREGU nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan aksi cemerlang pada Kejuaraan Indonesia Masters apabila mara ke separuh akhir setelah menewaskan beregu ranking ketiga dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-13, 21-15 dalam masa 31 minit.
Aaron-Wooi Yik yang juga gandingan beregu ranking kelima dunia bermula garang pada aksi suku akhir itu apabila mendominasi sebahagian besar perlawanan bagi memenangi set pertama 21-13.
Biarpun menerima sedikit tentangan pada set kedua, namun pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu menggunakan segala kepakaran dan pengalaman untuk mencatatkan kemenangan 21-15.
Sementara itu, gandingan Pearly Tan-M Thinaah terpaksa akur kehebatan pasangan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida apabila tewas 14-21, 15-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit.
Setelah tewas 14-21 pada set pertama, Pearly-Thinaah berjaya memberikan sedikit tentangan pada set kedua, namun gagal membendung ketangkasan gandingan Jepun itu apabila tewas 15-21.
Dalam pada itu nasib berbeza buat satu gandingan beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin apabila tewas mengejut kepada gandingan beregu senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 13-21, 21-18, 18-21 pada aksi suku akhir yang berlarutan selama 58 minit.
Setelah tewas 13-21 pada set pertama Sze Fei-Izzuddin berjaya bangkit memenangi set kedua, 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan yang menyaksikan
kedua-dua beregu negara itu mempamerkan aksi mantap masing-masing sebelum Yew Sin-Ee Yi mencipta kejutan apabila menang 21-18.
Terdahulu, pasangan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See tewas straight set kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 17-21, 9-21 dalam tempoh 34 minit.
Setelah memberikan sedikit tentangan pada set pertama, aksi pasangan beregu negara dilihat goyah pada set kedua dan sekali gus menyaksikan mereka tewas 9-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!